“Saya Enggan Kejar Populariti” – Dilabel Sendu, Cliff Umar Tak Kisah Nama Semakin Sepi

Nama penyanyi Cliff Umar yang merupakan vokalis bagi kumpulan Projek Pistol semakin menyepi dalam industri nyanyian tanah air biarpun pernah menjuarai program nyanyian popular pada 2020.

Menurut Cliff, tujuan utamanya berada dalam industri hiburan bukan mahu mengejar populariti tetapi menjadikan muzik sebagai salah satu ‘passion’.

“Saya tak kejar populariti. Muzik ada dalam jiwa saya. Pendapatan saya 100 peratus saya dapat menerusi pembabitan dalam muzik,” katanya.

Biarpun kariernya dalam industri muzik dilabel ‘sendu’ oleh sesetengah orang, Cliff masih aktif menghasilkan lagu-lagu baru untuk penyanyi-penyanyi tanah air seperti Akim dan Ella.

“Saya bukanlah seorang ‘producer’ yang baik dalam menghasilkan sebuah lagu, tetapi pada saat ini, saya lebih banyak menghabiskan masa di studio.

“Saya mahu mempelajari lebih banyak perkara mengenai cara penghasilan sebuah lagu untuk menjadikan diri saya sebagai seorang penerbit yang lebih berkualiti,” katanya kepada XTRA.

Bukan itu sahaja, Boy juga dilihat mula menapak membina nama di negara jiran, Indonesia dan memberitahu kepada media yang dirinya diterima baik di sana.

Cliff ditemui oleh XTRA pada sidang media di Konsert Kolaboraci Indonesia-Malaysia-Singapore pada Rabu.

Konsert ini akan berlangsung pada 25 November 2022 di SMESCO Convention Hall, Jakarta Indonesia bermula pada jam 7 malam dan tiket bagi tontonan strim langsung boleh dibeli di laman web www.kolaboraci.online.

Halimey Zamal