“Saya Masih Single!” – Ini Ciri-Ciri Suami Idaman Shaza Bae

Hantaran Instagram Stories berbaur ’emosi’ yang dikongsikan oleh pelakon dan pengacara, Shaza Bae ketika menghadiri konsert Rizky Febian di Kuala Lumpur, baru-baru ini, menimbulkan tanda tanya.

Ada sesetengah pihak beranggapan aktres cantik itu sedang memikirkan soal jodoh gara-gara kemas kini terbabit.

Ketika dihubungi XTRA, pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Malaysia) di Asian Academy Creative Award yang berlangsung baru-baru ini mendedahkan dia masih solo.

“Status terbabit dimuat naik ketika saya sedang melayan konsert Rizky Febian. Tak ada kena mengena dengan status atau perasaan peribadi kerana saya masih solo,” katanya.

Ketika disoal mengenai ciri-ciri lelaki idaman, bekas pemenang Dewi Remaja ini mahukan seorang jejaka yang memahami.

“Saya suka dengan lelaki yang baik hati, memahami karier saya, memahami saya sebagai seorang manusia, lelaki yang bertanggungjawab, lelaki yang beragama dan lelaki yang setia.

“Kita tak tahulah kalau dah jodoh, tetapi kalau boleh, saya mahu pasangan saya orang luar industri,” jelasnya.

Bila ditanya soal hubungannya bersama rakan artis Nadhir Nasar, Shaza memberitahu mereka hanya berkawan baik.

Mahu membiarkan sahaja netizen di luar sana bercerita soal hubungan mereka yang terlihat rapat, Shaza beranggapan tiada apa yang perlu dijelaskan.

 

 

 

Halimey Zamal