“Saya Pergi Dapatkan Rawatan” – Zizan Razak Pernah Alami Anxiety

Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak memberitahu dia kini semakin menitikberatkan soal penjagaan kesihatan supaya tidak mudah diserang penyakit.

Menurutnya, dia memilih waktu kerja dan hanya mahu bekerja enam jam sehari kerana mementingkan tidur yang cukup.

“Saya memilih-milih kerja dan saya demand on timing, kerja mesti enam jam.

“Saya perasaan bila saya kurang tidur atau tidak mendapat rehat secukupnya saya akan jatuh sakit. Susah untuk saya terangkan masalah yang saya hadapi ini,” katanya.

Zizan ditemui semasa malam Gala Premiere Abang Long Fadil 3 di Suria KLCC pada Jumaat lalu.

Pada masa sama, dia turut mendedahkan pernah mengalami tekanan dan pernah ditahan di hospital beberapa kali.

“Walaupun bayaran kerja yang saya dapat kadangkala mengejutkan (lumayan) tapi bila habis penggambaran saya diserang anxiety dan murung sehingga tak tahu duit yang saya dapat untuk apa.

“Sebenarnya saya pernah ditahan di hospital beberapa kali sebab mengalami risau terlampau sehingga mengakibatkan saya berasa takut dan sesak nafas. Saya pernah pergi ke Institut Jantung Negara untuk mendapatkan rawatan namun doktor beritahu saya okey.

“Doktor nasihatkan saya untuk rehat dan tak sangka cara itu berhasil. Kini saya sangat menjaga waktu bekerja kerana pengalaman keluar masuk hospital sebab sesak nafas memang mengganggu mental,” katanya.

Maya Basir