“Saya Perlu Tolak Tepi Nikmat Seronok” – Imran Aqil Persiap Diri Sebelum Kahwin

Pelakon dan penyampai radio, Imran Aqil memberitahu dia belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

Imran juga menjelaskan dia menggunakan tempoh pertunangannya itu untuk mempersiapkan diri sebaik boleh sebelum sah menjadi suami kepada bakal isterinya itu.

“Bercakap pasal bersedia itu masih belum lagi, tetapi dalam fasa pertunangan inilah yang saya gunakan bagi mempersiapkan diri untuk bergelar sebagai seorang suami nanti.

“Sebabnya perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah, saya perlu tolak tepi nikmat seronok dan beri fokus pada tanggungjawab kerana itulah yang paling penting.

“Alhamdulillah, setakat sebulan ini semuanya berjalan dengan baik, tapi ujian sikit-sikit itu adalah.

“Saya harapkan urusan kami berdua terus dipermudahkan sehingga hari yang kami nantikan itu tiba,” katanya.

Disoal mengapa bertindak untuk merahsiakan pertunangan bersama tunangnya, penyampai radio Hot FM itu menjelaskan tindakan tersebut adalah yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

“Memang itu perancangan awal kami berdua untuk merahsiakan tentang hal in sebab pada saya lebih baik untuk disembunyikan dahulu sehingga ke hari pernikahan barulah diuar-uarkan.

“Pihak saya dan Dahlia memilih untuk merahsiakan, tetapi kami hanya merancang sehingga ada tersebar beberapa video, kemudian saya pun terbukalah untuk beri tahu semua pihak.

“Alhamdulillah, saya terima doa yang baik-baik daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat juga,” tambahnya.

Imran dan tunangnya, Dahlia yang juga seorang pempengaruh mengikat tali pertunangan pada 21 Ogos lalu.

Sumber: Gempak

Khairil Khusyairi