‘Saya Sedar Diri Lagi’- Kenapa Tu Nabil Ahmad?

Selepas tampil dengan Pening, pelawak popular Nabil Ahmad tidak pernah serik untuk terus menghasilkan lagu seterusnya.

Nabil yang mula dikenali dengan tagline ‘Lu Pikir’ sejak 11 tahun kini berhasrat menjenamakan semula panggilan itu dengan menamakannya dalam single terbaharu.

“Komposer Lu P’k, Aman RA dan Dj Fuzz tahu dengan kehendak saya untuk lagu ini. Sewaktu saya berada di sebuah rancangan lawak dulu, saya sering menggunakan tema tabiat manusia dalam penceritaan setiap minggu.

“Jadi untuk lagu baharu ini juga, Aman RA telah menulis lirik yang sesuai dengan kemampuan saya sebagai penyanyi. Dalam masa beberapa minggu sahaja, Lu Pk berjaya disiapkan.

“Saya sedar ramai yang berkata saya lebih sesuai mengacara dan berlawak, tetapi saya juga memang minat bidang nyanyian. Why not kan?,” katanya.

Sementara itu sering tampil dengan lagu yang dekat di hati masyarakat, Nabil memberitahu dia tiada niat untuk bersaing dengan penyanyi hebat tanah air.

“Hobi saya memang menyanyi tetapi tidak sampai berangan untuk masuk ke anugerah. Tetapi saya juga tidak menolak sekiranya lagu ini layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL), saya anggap ia sebagai rezeki dari Allah. 

“Niat saya hanya mahu memeriahkan industri hiburan. Bukan untuk bersaing dengan penyanyi hebat tanah air. Sekiranya impak lagu ini besar di luar sana, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, tidak mengapa,” katanya.

Sebelum ini, Nabil pernah menggunakan khidmat komposer DJ Fuzz dan Waris bagi lagu Pening yang mengetengahkan konsep senda gurau.

Dalam perkembangan lain, Nabil kini mengusahakan produk vape yang juga dinamakan Lu P’k. Produk milik Nabil ini turut menawarkan pelbagai perisa antaranya Ice Cola, Grape Bubblegum, Guava Bubblegum dan Tropical Cocktail.

Semoga terus sukses, Nabil! 

SGMS Faida