“Saya Tak Ada Niat Nak Bangkitkan Semula Kisah Penderaan Itu” – Diana Danielle

Pelakon cantik berdarah kacukan, Diana Danielle tidak berniat untuk mebangkitkan semula kisah penderaan fizikal yang pernah dialami dengan bekas kekasih sebelum mendirikan rumah tangga bersama suaminya, pelakon Farid Kamil.

Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, dia tidak menyangka perkongsian mengenai isu terbabit menerusi program di YouTube Studio Sembang kendalian Amelia Henderson itu mendapat perhatian ramai.

“Saya tak ada niat nak ungkit cerita, saya hanya sekadar berkongsi. Bukan niat saya, orang pun tahu saya bukan jenis yang suka cari gaduh. Saya pernah mendedahkan perkara ini 10 tahun lalu, tapi mungkin ramai peminat muda yang tak tahu.

“Kita juga bercakap mengenai kesihatan mental dan bagaimana cara untuk meneruskan hidup. Sepanjang lebih satu jam berkongsi, tak sangka pula perkara itu yang menjadi perhatian, topik itu yang orang fokuskan.

“Bila saya dengar semula rakaman terbabit, ramai yang mesej secara peribadi dan berterima kasih kerada ada perkara yang saya sentuh memberi semangat kepada mereka serta memberi ruang mereka bercerita mengenai pengalaman mereka, bukan hanya berkisar mengenai apa yang saya perkatakan,” katanya kepada XTRA.

Terdahulu, Diana, 31, mendedahkan mengenai penderaan fizikal yang dilakukan oleh bekas kekasihnya.

Ketika ditanya mengenai adakah dia fobia melalui episod hitam terbabit, pelakon filem Evolusi KL Drift ini menganggap ia sebagai pengajaran.

“Ia menjadi pengajaran. Dalam hidup ini, manusia tak lari daripada buat kesalahan atau membuat orang lain terasa hati. Kita belajar menjadi insan yang lebih baik dan belajar buat keputusan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga.

“Semua orang ada pengalaman yang berbeza, buatlah keptusan yang terbaik, lebih-lebih lagi bila kita ada anak, jika kita tak kuat untuk diri sendiri, kita kena kuat demi anak-anak supaya mereka tak perlu menjalani hidup yang penuh kekerasan,” katanya.

Diana ditemui di majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes at Four Season Place, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Selain Diana, selebriti lain yang hadir ke acara terbabit ialah Nabila Razali, Ruhainies, Emma Maembong, Puteri Sarah, Redza Rosli dan ramai lagi.

Padin