“Sebab Leona, Nama Saya Terpalit Dan Saya Jadi Hot” – Azhar Sulaiman

Pelakon Azhar Sulaiman mengakui namanya semakin mendapat perhatian umum gara-gara kontroversi yang sering melanda anaknya iaitu Kasih Iris Leona.

Menerusi rakaman temu bual di Buletin FM, Azhar berkata terdapat banyak tawaran yang diterimanya sejak kebelakangan ini.

“Saya rasa sejak setahun ni saya tak henti-henti berlakon, saya rasa kena berterima kasih pada anak saya Leona.

“Dia punya fasal, nama saya terpalit dan saya jadi hot. Rezeki,” ujar Azhar.

Azhar yang turut menjayakan drama Budak Tebing 3 ini juga mendedahkan kebanyakan tawaran yang diterimanya datang melalui media sosial.

“Media sosial ni saya gunakan untuk stay connected to industri supaya orang tahu dimana nak cari saya.

“90 peratus job datang melalui media sosial, hantar mesej di Instagram kerana kebanyakan orang dalam industri ni ramai golongan generasi muda dan mereka tiada nombor telefon saya. Itu cara mereka cari saya.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih pada mereka semua,” kongsinya.

Untuk info, Kasih Iris Leona sering menjadi perhatian di media sosial sehingga teruk dijadikan bahan kecaman netizen.

Kini Leona sedang menyambung pengajiannya di United Kingdom (UK) selama tiga tahun sejak September 2022.

Khairil Khusyairi