Sedihnya! Bell Ngasri Terkilan Trofi Utama ABPBH 35 Bengkok – “Hati Saya Remuk! Tak Tahu Pun Kena Letak Dalam Kotak”

‘Hati saya remuk selepas melihat trofi kesayangan bengkok’.

Demikian kata pemenang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) Bell Ngasri selepas trofi utama yang dimenanginya bengkok.

Menurut pemilik nama Nasrizal Ngasri, 43, kejadian berpunca apabila dia terlewat untuk datang ke konti radio Hot FM baru-baru ini sehingga menyebabkan beg plastik yang digunakan untuk menyimpan trofi berkenaan terkoyak dan jatuh di atas jalan raya.

“Saya diminta datang ke konti pada jam 7.30 pagi, tetapi disebabkan terlewat, saya sampai sekitar jam 8.15 pagi.

“Memandangkan sudah terlambat, saya menunggang motosikal dalam keadaan ‘menggelupur’ kerana mahu cepat sampai. Telefon bimbit pula berdering-dering.

“Dalam keadaan kelam kabut itulah beg plastik yang saya letak trofi koyak dan jatuh atas jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Bell memaklumkan, dia tidak tahu sekiranya trofi itu perlu disimpan didalam kotak seperti yang dilakukan oleh pemenang terdahulu.

“Inilah pengalaman pertama saya.  Saya sebenarnya tak tahu pun yang trofi ini sepatutnya dibungkus dan disimpan di dalam kotak sebelum dibawa ke sana sini seperti dilakukan pemenang terdahulu.

“Bukan sahaja trofi, hati saya juga calar dan remuk selepas melihat trofi kesayangan bengkok,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro

Salma Syahbuddin