“Selamat Tinggal Sha…Jangan Lupa Saya” – Linda Rafar Kenang Momen Manis Sejak Elite

Perkongsian penyanyi Linda Rafar baru-baru ini di laman Instagram miliknya mengundang rasa sebak sesiapa yang membaca.  Menerusi entri itu, Linda meluahkan rasa sedih, apabila rakan baiknya, Sasha Saidin yang baru berkahwin, akan berpindah ke Dubai mengikuti suami.

Menerusi entri itu, Linda memuat naik klip video yang memaparkan gambarnya dan anggota-anggota Elite yang lain iaitu Watie dan Azza bersama pasangan pengantin dan lagu kumpulan Elite, Selamat Tinggal Teman mengiringi klip video tersebut. Walau bagaimanapun kelibat anggota Elite, Abby Abadi tidak kelihatan.  

“Selamat tinggal Sasha sayang, saya tidak berhenti menangis. Tak sedar rupanya kali ini memang betul awak tinggalkan saya. 

“Sha, saya tak akan lupa semua jasa baik awak terhadap saya sejak zaman Elite, masa kita pergi Australia bersama, zaman kita mula mengenali dunia, awak sentiasa ada dengan saya. 

“Sha, saya kenang sangat jasa baik awak dan pengorbanan awak pada saya..sejak arwah Memen (anak Linda) sakit, awak selalu datang melawat kat HUKM bagi kata-kata semangat..sampai lah arwah pergi. 

“Lepas tu, arwah ibu saya sakit dan pergi pun awak sentiasa ada dengan saya..kadang-kadang saya terlepas pandang Sha,” tulis Linda dalam kapsyen. 

Linda juga mengambil kesempatan itu untuk mendoakan kebahagiaan Sasha dan suami dengan hidup baru mereka di Dubai dan mendoakan agar Allah membalas segala jasa baik dan kebaikan Sasha dan keluarga, yang menurut Linda ikhlas menganggapnya seperti seorang adik. 

Terdahulu, Sasha pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner di London pada 2003 dan bercerai pada 2007. 

Tidak lama selepas itu, dia mendirikan rumah tangga dengan warganegara Indonesia, Salyo Priyanto dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Adam Aryasenna  Notosoemarsono yang kini berusia 10 tahun. Mereka berpisah lima tahun kemudian. 

Pada 20 Januari lalu, Sasha mendirikan rumah tangga buat kali ketiga dengan rakan yang dikenali sejak zaman sekolah, Sirhan Wahab yang difahamkan bekerja dalam sektor kewangan di Dubai. 

Melalui perkahwinannya yang terdahulu, Sirhan mempunyai dua orang anak.

Kredit Foto: Instagram @lindarafar

Del14