33 Tahun Jalani Hukuman Penjara, Pembunuh Along Spoon Dibebaskan Hari Ini

Bekas anggota polis, Mohd Ya’cob Demyati, 57, yang membunuh penyanyi Allahyarham Along Spoon atau nama sebenar Sabi’ul Malik Shafie dibebaskan dari Penjara Kajang hari ini.

Memetik laporan Kosmo, peguam Che Muji Che Noh yang mewakili Mohd Ya’cob telah mengesahkan perkara itu.

“InsyaAllah, dia bebas hari ini, 33 tahun (penjara) dari tarikh tangkap 4 Januari 2000, satu pertiga daripada cuti dan lain-lain bermakna dia dah serve 33 tahun,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembunuh Along Spoon Terlepas Hukuman Penjara Sepanjang Hayat

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan meminda hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan kepada Mohd Ya’acob kepada 33 tahun pemenjaraan.

Sebelum ini, Mohd Ya’acob diperintahkan hukuman mati namun telah diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas petisyen rayuan oleh Lembaga Pengampunan dibenarkan.

Dalam prosiding hari ini, keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada pada hari kedua persidangan hari ini selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Mengikut pertuduhan Mohd. Ya’cob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi’ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.

Sebelum ini, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999. Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Maya Basir