Selesai Secara Atas Talian, Syamsul Yusof Tarik Balik Saman Terhadap JAWI & MAIWP

Pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof telah menarik balik saman yang difailkan terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, hari ini.

Memetik laporan mStar, menurut peguam yang mewakili Syamsul iaitu Azahir Nasir, kes tersebut telah diselesaikan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.

Sebelum ini, Syamsul memfailkan saman dengan menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Penguatkuasaan JAWI, Mohd Haris Abdllah, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan MAIWP selaku defendan pertama hingga ketiga pada 28 Mac lalu.

Menerusi tuntutan itu, Syamsul mendakwa ibunya, Datin Patimah Ismail memberikan sekeping gambar melalui aplikasi Whatsapp yang turut memaparkan nama, nombor kad pengenalan, sebahagian tandatangan dan keterangan isterinya, Faghira Fatini Kazaruddin, 28, ketika dipanggil oleh JAWI pada 23 Disember 2022.

Keterangan yang diambil menyatakan dia dan Ira Kazar telah menjalinkan hubungan sulit di antara 2019 dan 2021.

Namun, Ira menafikan keterangan yang diberikan sewaktu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut mengenai gangguan orang ketiga yang difailkan oleh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Susulan itu, Ira tampil membuat laporan polis berkaitan penyebaran keterangan yang disifatkan sebagai fitnah pada 23 Disember 2022.

Malah, Syamsul turut berkongsi dia dimarahi oleh ibunya dengan kata-kata yang mengguris perasaan hingga dia mengalami tekanan perasaan dan menganggap fitnah itu dibuat untuk memalukan dan mengaibkan dirinya.

Walaubagaimanapun, Syamsul telah menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Sumber: mStar

Atiqah Johari