Seronok Jadi Pelajar, Haziq Masuk Kelas Dua Kali Seminggu Kejar Master!

Penyampai radio Hot FM Haziq Hussni meluahkan rasa teruja apabila kembali bergelar pelajar semula di Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur.

Haziq yang ditemui di konsert Bintang Mencari Bintang 2019 (BBB2019) memaklumkan dia baru sahaja menerima tawaran menyambung pelajaran di peringkat sarjana.

“ Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya untuk kembali ke kampus dan merealisasikan impian menyambung pengajian di peringkat master pula.

“ Sebagai seorang selebriti, amat penting untuk seimbangkan antara kerja dan pelajaran kerana kita tidak tahu sama ada nama kita masih relevan atau tidak di kemudian hari.

“ Saya dididik untuk terus menuntut ilmu walau sehingga hari tua pun, jangan pernah berhenti mengejar ilmu. Atas sebab itu, saya kembali memegang status pelajar walaupun sibuk dengan kerja di konti dan pengacaraan,” katanya kepada XTRA.

Tambah Haziq, dia beruntung apabila diberi peluang mengatur jadual kelas sendiri mengikut kesesuaian waktu kerjanya.

“ Saya akan ke kelas pada hari Selasa dan Khamis pada sebelah pagi. Selepas habis kelas saya akan sambung bekerja di konti Hot FM seterusnya ke studio untuk tugasan Muzik Muzik 34.

“ Walaupun terikat dengan jadual kerja padat, saya tidak menjadikan ia penghalang. Lagipun, hanya empat sahaja diperlukan untuk saya pergi ke kelas.

“ Paling penting, ubah pemikiran agar sentiasa positif dan saya mengambil perkara ini sebagai salah satu cabaran dalam hidup,” akhirinya.

Awal Mac lalu, Haziq mengumumkan bakal menyambung pelajaran dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTM).

SGMS Faida