Setelah Sebulan, Wany Hasrita Kembali ‘LDR’ Dengan Suami

Penyanyi Wany Hasrita mendedahkan dirinya kini kembali berjauhan dengan suaminya, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, setelah sebulan mendirikan rumah tangga.

Menurut Wany, atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, sebelum menjalani hubungan jarak jauh dan mula bekerja, dia dan suami telah bercuti selama sebulan demi meluangkan masa bersama.

“Sebelum ini dua minggu saya duduk di rumah suami di Kuching, Sarawak dan sekarang baru kami kembali bekerja. Kami berdua masing-masing ambil cuti sebulan sebab tahu selepas ini memang susah nak jumpa.

“Alhamdulillah, biarpun kami menjalinkan hubungan jarak jauh, semuanya okay kerana masing-masing memahami. Kami juga setiap hari berhubung dan membuat panggilan video. Diharapkan persefahaman ini sampai bila-bila.

“Sepanjang bercuti pun kami berdua banyak lepak di rumah, sebab kami tahu apabila sudah kembali bekerja nanti, tiada peluang nak bersama. Lepak di rumah adalah momen yang seronok buat kami berdua,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Wany belum pernah menerima soalan berkenaan zuriat selepas berkahwin, namun dirinya bersifat terbuka sekiranya soalan tersebut diajukan kepadanya.

Dalam masa sama, Wany berkata dia belum lagi ditanya mengenai soal cahaya selain masih mendapat ucapan tahniah atas perkahwinan yang dibina.

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi yang bertanya mengenai cahaya mata. Sekarang ini ke mana saya pergi dan berjumpa orang, mereka banyak mengucapkan selamat pengantin baru memandangkan saya pun baru sebulan berkahwin.

“Kalau ada bertanya pun tak mengapa sebab saya rasa pada usia 30 tahun ini, penerimaan saya pada pertanyaan orang ramai agak tenang. Saya juga lebih relaks. Tiada apa nak kecil hati dan seumpamanya. Tapi perlu diingatkan, ‘common sense’ itu perlu pada setiap orang,” katanya.

Terdahulu, Wany dan Adib telah mendirikan rumah tangga pada 22 Julai lalu.

 

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain