Sharnaaz Ahmad Berang Produksi ‘Bantai’ Kerja 20 Jam Sehari – “Macam Mana Mereka Semua Ni Layak Dapat…”

Pelakon Sharnaaz Ahmad berang dengan tindakan produksi yang mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu sehingga pelakon dan kru kepenatan akibat bekerja lebih masa.

Menerusi perkongsiannya di Instagram Stories, dia meluahkan rasa marah terhadap sebuah produksi yang didakwa mengambil masa 20 jam sehari untuk menjalani penggambaran.

“Produksi bodoh mana yang masih lagi melakukan kerja penggambaran hingga 20 jam sehari?

“Macam mana mereka semua ini layak dapat lesen untuk buka syarikat produksi. FINAS sila pantau.

“Apapun, bukan di set aku. Kalau set aku, memang kena tendang penerbit dan pengarah,” tulisnya.

Menurutnya lagi, pelakon filem Jebat ini meminta persatuan penggiat seni yang berkaitan untuk memantau dan mengambil langkah yang sepatutnya agar amalan seperti ini tidak terus diamalkan.

“Budaya ‘lenjan’ artis dan kru ini masih perlukah pada zaman 2022 ni?

“Produser tamak nak jimat kos, laksanakan penggambaran lebih masa, artis dan kru tak mampu nak buat yang terbaik sebab penat dan penerbit tarik muka.

“Kepada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), mana 12 jam kerja kami (artis dan kru)?

“Minta pantau produksi yang jahanamkan industri. Kalau nak terlajak sampai 14 jam, kami masih boleh terima, tetapi bukan hari-hari,” ujarnya.

Maya Basir