Siti Nurhaliza Dejavu Teringat Pentas 360 Darjah Di Konsert Mega 2001, Sempat Pesan Jangan Bandingkan Bakat Lama & Baharu

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menggamatkan pentas Konsert Malam Bulan Bintang apabila tampil di pentas 360 darjah di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.

Menurut Siti, kemunculannya di konsert tersebut ibarat mengenang kembali momen istimewanya apabila pernah menjayakan konsert solonya iaitu Konsert Mega Siti Nurhaliza di tempat sama yang turut meletakkan pentas di tengah stadium.

“Terasa dejavu dapat muncul di tempat yang sama dengan kedudukan pentas di tengah seperti Konsert Mega saya pada tahun 2001.

“Masa berlalu, teknologi dan kepakaran juga berubah, saya kagum dengan semua kecanggihan yang berlaku dewasa ini,” luah Siti.

Pada malam tersebut, Siti yang tampil anggun menggayakan busana merah jambu rona cerah mendendangkan enam buah lagu kepada penonton yang hadir.

Dalam pada itu, pelantun lagu Purnama Merindu ini turut menitipkan pesan agar tidak membandingkan bakat lama dan juga bakat baharu kerana setiap darinya punyai istimewa tersendiri.

“Tiada yang lama, tiadalah yang baru, semuanya menyimpan kenangan dan pengalaman yang berbeza-beza.

“Itulah manisnya untuk kita sentiasa merasa bahagia dengan setiap apa yang kita kecapi, selama kita menikmati dengan syukur, segalanya mudah.

“Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain untuk kita selalu dapat memahami nikmat dan makna syukur,” tulisnya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila ada sesetengah warganet yang mempersoalkan bakat penyanyi tempatan tanah air dengan artis antarabangsa luar negara.

Untuk rekod, Siti Nurhaliza pernah menjayakan konsert solonya di Axiata Arena yang diberi nama Konsert Mega Siti Nurhaliza pada 2001 dengan rekaan pentas di tengah stadium sekaligus membuktikan bahawa konsert Siti merupakan antara konsert yang paling berjaya di Malaysia.

Khairil Khusyairi