Selepas Bengkak Dileher, Ibnor Riza Disahkan Hidap Kanser Limfoma – “Jantung Saya Akan Berhenti Pada…”

Tahap kesihatan penyanyi popular era-80, Ibnor Riza semakin merosot selepas hampir dua bulan sering keluar masuk hospital gara-gara pelbagai komplikasi penyakit.

Terkini, penyanyi berusia 62 tahun itu mendedahkan dirinya disahkan menghidap kanser limfoma dan bakal menjalani rawatan kimoterapi untuk mematikan sel kanser tersebut.

Menerusi perkongsian video di Instagram rakan artis, Datin Salwa Abd Rahman, Ibnor dengan sebak memaklumkan dia akan dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.

“Ini merupakan hari terakhir saya berada di wad Hospital Port Dickson dan akan dipindahkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

“Sebenarnya, saya kena kanser limfoma dan saya akan mula membuat kimoterapi. Saya mohon doa kawan-kawan semua, terima kasih. Assalamualaikum,” ujarnya.

Sebelum ini, pelantun lagu Berdiri Seorang Perindu ini memberitahu dia mengalami masalah di bahagian saraf yang boleh menganggu saluran pernafasan dan membahayakan dirinya.

Selain itu, disebabkan komplikasi penyakit yang dihidapinya itu, dia boleh jatuh pengsan dan jantung akan berhenti bila-bila masa.

“Saya kini masih lagi dalam pemantauan doktor. Saya menghadapi masalah saraf di leher yang terhimpit oleh ketulan menyebabkan saluran udara tidak sampai ke jantung dan otak.

“Masalahnya sekarang ini, saya boleh jatuh pengsan bila-bila masa dan jantung saya akan berhenti bila-bila masa disebabkan komplikasi penyakit yang saya hadapi ini,” jelasnya.

Untuk rekod, pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan selepas pengsan di rumahnya.

Terdahulu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk selepas melakukan pemeriksaan doktor akibat bengkak di leher.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Hidap 6 Penyakit Kronik, Ibnor Riza Kini Ditidurkan

ARTIKEL BERKAITAN: “Semangat Makin Merudum” – Suara Hilang, Leher Membengkak… Ibnor Riza Alami 6 Penyakit Kronik Serentak

Maya Basir