Siti Nurhaliza Titip Ucapan Istimewa Buat Puteri Sulung – “11 Tahun Menantimu…”

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitipkan ucapan istimewa buat puteri sulungnya, Siti Aafiyah Khalid sempena ulang tahun kelahiran keenam, hari ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Siti atau nama lengkapnya, Siti Nurhaliza Tarudin memanjatkan rasa syukur dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang mengajarnya erti kesabaran dan kekuatan sebagai seorang ibu.

“Alhamdullillah, 6 tahun yang lalu, lahirlah puteri ibu Siti Aafiyah Khalid.

“Anak yang mengajar ibu tentang kekuatan dan kesabaran yang tinggi untuk menjadi ibu.

“11 tahun menantimu. Masya-Allah, TabarakaAllah,” tulis Siti dalam sebuah perkongsian.

Dalam pada itu, pelantun lagu Air Mata Ibu itu turut menitipkan doa buat permata hatinya itu agar menjadi yang terbaik dan berbakti kepada agama dan masyarakat.

“Doa ibu Aafiyah menjadi anak solehah yang sentiasa dijaga Allah SWT.

“Anak yang cepat matang, terang hatinya, tegas dalam lembut, caring dan terus lah berbakti kepada agama dan masyarakat bila besar nanti ye.

“Semoga Aafiyah anak ibu disayangi seluruh makhluk Allah swt di langit dan di bumi, menjaga adab dan agamamu. Permata hati Ayah Ibu, Siti Aafiyah.. Aamin Ya Rabb,” tutupnya.

Untuk info, Siti melahirkan bayi sulung secara pembedahan pada 19 Mac 2018 selepas 11 tahun menanti.

Kini, Siti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa diserikan lagi dengan cahaya mata kedua iaitu, Muhammad Afwa Khalid, 3.

Khairil Khusyairi