“Suami Saya Sangat Setia…” – Diana Danielle Tak Mahu Rumah Tangga Dibandingkan Dengan Orang Lain

Pelakon cantik Diana Danielle bersyukur suaminya, pelakon Farid Kamil adalah seorang yang setia dan tidak pernah putus asa dalam rumah tangga.

Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, dia sentiasa bersangka baik selain bermuhasabah untuk perbaiki diri.

“Alhamdulillah. Lima tahun pertama dalam perkahwinan bukanlah senang, kita ada banyak pasang surut tapi saya bersyukur sebab suami sangat setia dan tak pernah putus asa. Dia tahu macam mana nak pertahankan dan kawal saya.

“Perempuan memang emosi. Apa yang saya boleh cakap, ini semua adalah kerja tuhan, kita hanya boleh buat yang terbaik tapi sebaik mana pun apa yang kita buat, kalau bukan jodoh kita, dia tetap bukan jodoh kita.

“Kita bersangka baik dengan keadaan, bersangka baik dengan hari-hari kita dan kita cuba lakukan yang terbaik. Muhasabah diri itu penting supaya kita sentiasa tahu diri kita di mana,” katanya.

Bagi Diana sendiri, dia bahagia disamping suami tercinta malah bersyukur dengan apa yang yang dikecapi kini.

“Saya boleh cakap perkahwinan saya sampai hari ini disebabkan suami saya. Jangan bandingkan dengan sesiapa. Apa yang nampak sekarang, saya bahagia, tapi tiada jaminan hari esok.

“Saya tak mahu cakap banyak, cakap besar, saya hanya bersyukur apa yang saya ada sekarang dan saya cuba pertahankan apa yang mendatang.

“Saya dan Farid sangat relaks. Kami sudah bersama dalam tempoh masa yang panjang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Diana turut menitipkan pesanan agar terus berupaya menjadi yang terbaik dalam kehidupan berumah tangga.

“Pasangan kita hanyalah pinjaman, yang penting kita sentiasa berusaha untuk jadi yang terbaik untuk keluarga. Kita biarkan takdir merungkai segalanya.

“Apa yang kita nampak elok di luar sana, tak semestinya elok sebenar-benarnya, yang mana nampak tak elok tak semestinya tak elok.

“Kita menuding satu jari ke orang, empat ke kita. Apa-apa pun beringat sahaja,” pesannya.

Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad dan Nur Aurora.

Sumber: Melodi TV3

Khairil Khusyairi