Suami Tak Letak Syarat Untuk Berlakon, Elvina Mohamad Elak Babak Sentuh Berlebihan

Pelakon Datin Elvina Mohamad meluahkan rasa bersyukur kerana suaminya, Datuk Mohd. Haniff Borhan tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk dirinya mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Sebagai isteri dan ibu kepada seorang anak lelaki, Elvina tidak mengambil ringan terhadap kebebasan dan kepercayaan yang diberikan oleh suaminya itu.

Menurut Elvina, dirinya sentiasa memilih untuk berjaga-jaga dalam menjayakan setiap watak yang diterimanya.

“Dengan status isteri, saya tiada limitasi dalam lakonan. Suami pun tak pernah mengenakan sebarang syarat.

“Namun, saya sendiri tidak akan ambil ringan dengan kebebasan tersebut.

“Saya pun akan berjaga-jaga dalam setiap watak yang diterima,” jelasnya lagi.

Memetik laporan Kosmo, pelakon jelita itu lebih cenderung untuk mempertimbangkan setiap babak bersentuhan yang perlu dilakukan mengikut logik dan keperluan jalan cerita.

“Jika pelakon lelaki pun bukan jenis terlalu bersentuhan sangat, jadi perkara begitulah yang akan berlaku.

“Kemudian isu sentuhan, bagi saya, ikut juga jenis babak. Jika pegang tangan, saya okey namun kalau berlebihan sangat, memang akan tolak. Untuk babak berpelukan, bergantung kepada skrip dan logik, perlu atau tidak?

“Sekiranya perlu, saya akan ikut keperluan skrip dan jika sebaliknya, semuanya boleh berbincang dengan pihak produksi,” katanya mengakhiri perbualan.

Terdahulu, pelakon jelita itu memaklumkan dirinya juga lebih memilih pasangan hero yang akan digandingkan sebelum menerima tawaran daripada mana-mana naskhah demi menjaga kualiti lakonannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi Kualiti Lakonan, Elvina Mohamad Akui Memilih Hero Gandingan

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain