Categories: HiburanTrending

Tak Malu Cucuk ‘Botox’, Bakal Jalani Rawatan ‘Tarik Benang’ Di Leher… Zainal Abidin Mahu Nampak Muda & Bebas Kedutan Demi Kerjaya Seni

Meskipun usia sudah mencecah 64 tahun, penyanyi veteran, Datuk Zainalabidin mengaku telah menjalani operasi ‘botox’ supaya kulitnya kelihatan lebih tegang dan sihat.

“Sebagai seorang penghibur, beginilah kehidupan saya, di mana, saya berdepan dengan orang ramai dan selalunya, ‘close up’. Ditambah pula dengan kualiti kamera sekarang yang berkualiti tinggi, jadi, memang nampak segala kedutan,” katanya.

Menurut pelantun lagu Hijau itu, dia mengutamakan penampilan diri lebih-lebih lagi apabila berada di atas pentas.

“Jadi, bagi memastikan penampilan saya sihat, ia harus diperbaiki dan dirawat dengan sebaiknya. Tapi, sebenarnya, saya tak malu untuk katakan saya buat ‘botox’. Tapi, bukan ‘filler’.

“Ini adalah demi mendapatkan kulit yang sekata, segar dan sihat. Selagi saya sihat, selagi itu saya masih boleh beraksi di atas pentas,” jelasnya.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik nama sebenar Zainal Abidin Mohamed itu juga bakal mempertimbangkan untuk melakukan rawatan ‘tarik benang’ bagi menegangkan bahagian leher sekiranya perlu.

“Kesihatan tak boleh dibeli, tapi kita kena berusaha mendapatkannya.

“Botox ini, masih lagi baru-baru ini (digunakan). Apabila saya pergi berjumpa dengan pihak Idealyst, mereka maklumkan mengenai keadaan kulit saya yang berkedut terutamanya, bila saya senyum.

“Bahagian leher saya pula, dah mula nampak macam ayam belanda. Jadi, ia tak elok sekiranya ada gambar atau visual ‘close up’.

“Jadi, bagi menghindari masalah itu, saya kena rawat. Tapi, saya belum buat prosedur tarik benang. Mungkin di masa akan datang, saya akan buat sekiranya perlu,” ujarnya.

Zainal turut memberi nasihat kepada orang ramai yang menyimpan hasrat untuk mendapatkan rawatan ‘botox’ atau ‘tarik benang’ agar membuat tinjauan dengan teliti terlebih dahulu terhadap klinik atau doktor yang menawarkan servis tersebut.

Bimbang dengan kemunculan banyak rawatan dan doktor tidak bertauliah, dia bimbang orang ramai menjadi mangsa penipuan dan menyebabkan kesan-kesan sampingan.

“Ia adalah untuk karier saya sebab saya nak bertahan lebih lama. Mereka yang muda, masih muda dan cantik. Jadi, saya nak penampilan saya nampak sihat.

“Bukanlah jenis yang bengkak sana sini. Jadi, janganlah dibuat keterlaluan. Pergi kepada doktor yang bertauliah dan bukan pusat kecantikan yang tidak bertauliah kerana tak selamat,” katanya lagi.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie