Categories: HiburanTrending

“Tak Semestinya Artis Kontroversi Naikkan Rating” – Penerbit Jaja Ishak

Penerbit Jaja Ishak memilih untuk bekerjasama dengan pelakon yang tidak memeningkan kepala dan boleh memberikan sepenuh komitmen.

Mengulas mengenai penglibatan artis yang terpalit kontroversi dalam sesebuah karya, Jaja tidak mahu mengambil kesempatan atas isu panas yang terjadi.

“Tak semestinya artis yang terpalit dengan kontroversi menaikkan rating sesebuah karya. Saya tak percaya dengan perkara itu. Kontroversi ada dua, positif atau negatif. Saya tak berminat dan tak gemar untuk menangguk di air keruh dan mahu ambil kesempatan.

“Saya tak suka elemen kontroversi seperti itu. Saya akui saya tak sehebat yang lain tetapi saya lebih gemarkan kerja yang tidak memeningkan kepala.

“Bagi saya mudah, tak kisahlah artis itu terpalit dengan kontroversi atau artis itu tak ada cerita panas langsung, asalkan dia tak memeningkan kepala, boleh memberikan komitmen dan tidak melanggar undang-undang, saya baik-baik sahaja,” katanya kepada XTRA.

Ketika ditanya mengenai isu hangat beberapa artis yang menjalinkan hubungan panas di set penggambaran walaupun sudah berkahwin, Jaja enggan menghakimi kerana tidak mencampuri urusan peribadi artis.

“Sejujurnya, saya tak suka masuk campur mengenai isu peribadi artis. Mereka nak bercinta ke, nak berkawan ke, bukan masalah saya. Saya nak menghakimi pun saya sendiri tak tahu kerana sebagai penerbit, saya tak mencampuri urusan peribadi artis.

“Saya mahu lebih fokus kepada kerja dan keperluan stesen televisyen. Isu berkaitan urusan peribadi saya tak mahu campur asalkan semua kerja berjalan lancar,” katanya lagi.

Padin