Categories: HiburanTrending

Takut Diserang Strok Kali Kedua, Esma Daniel Nekad Berhenti Merokok

Akibat terkena serangan angin ahmar atau strok pada November lalu, pelakon veteran, Esma Daniel nekad untuk berhenti merokok.

Esma berkata, sudah sebulan dia meninggalkan tabiat merokok demi kesihatannya.

“Sebenarnya saya memang dikenali dengan gaya hidup aktif, tapi dalam masa yang sama saya juga merokok dan ada masalah hipertensi.

“Jadi apabila perkara ini berlaku, walaupun kita aktif namun bila tidak dihindari, menyebabkan saya diserang strok,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, dia sedang berusaha untuk mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan usianya juga makin meningkat serta berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit.

“Sekali gus memberi kesedaran kepada saya untuk meninggalkan tabiat merokok. Saya boleh diserang strok kali kedua kerana tabiat merokok itu.

“Memang ajal dan maut di tangan Tuhan, tapi kita harus berusaha lebih baik untuk menjaga kesihatan kita.

“Selepas terkena serangan strok itu, saya terus nekad untuk berhenti merokok.

“Alhamdulillah, saya sudah sebulan lebih bebas daripada rokok,” jelasnya.

Terdahulu, Esma terkena serangan angin ahmar sebaik larian rutin selepas makan malam bersama isterinya, Nur Atira Mazlan, 31, pada 10 November lalu.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie