Terdedah Dengan Pergaulan Bebas, Yusuf Bahrin Kawal Diri Daripada ‘Disondol’ – “Kalau Saya Gagal, Habislah”

Isu rumah tangga diganggu ‘penyondol’ semakin banyak terjadi dan pelakon Yusuf Bahrin bersyukur rumah tangganya tidak pernah diganggu atau wujud orang ketiga.

Menurutnya, dia cuba sedaya upaya untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku.

“So far Alhamdulillah tak ada diganggu dan saya cuba elakkan perkara seperti itu terjadi di set penggambaran dan di luar set.

“Zizi pun tak ada isu sondol menyondol ni. Dia sondol saya adalah,” ujarnya berseleroh.

Namun, dia memberitahu tidak terlepas daripada ujian sebagai seorang lelaki apabila terdedah dengan pergaulan bebas di set penggambaran.

“Ujian pasti ada. Ujian untuk saya sebagai lelaki lebih bila saya keluar dekat set dan pergaulan agak bebas. Saya tak salahkan suasana tu, tapi berbalik kepada diri saya sendiri.

“Kelemahan diri saya sendiri, kalau saya gagal mengatasi saya punya kelemahan habislah.

“Tapi Alhamdulillah saya cuba ingatkan diri kalau berbuat perkara yang tak baik belakang isteri saya, nanti ada benda tak baik terjadi pada saya,” jelasnya.

Untuk rekod, Yusuf dan Zizi telah mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.

Sementara itu, isterinya, penyanyi Zizi Kirana sentiasa berdoa agar rumah tangga mereka dilindungi dan selebihnya hanya berserah kepada Tuhan.

“Kita berdoa yang baik-baik untuk kami punya rumah tangga. Kalau orang lain ditimpa ujian seperti itu pun kami doakan yang baik-baik.

“Tak perlu berlebih-lebihan risau sebab semua itu Allah yang aturkan, so kita doa agar hubungan kami kekal sampai ke akhirat,” kata Zizi.

Yusuf dan Zizi ditemui semasa majlis Anugerah Telenovela Top 10 Nominee Announcement di The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, semalam.

Menuju malam anugerah yang bakal berlangsung pada 6 Disember di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur nanti, antara calon Top 10 teratas yang diumumkan adalah menerusi kategori Novel Popular dan Telenovela Popular.

Selain itu, Pelakon Wanita Popular, Pelakon Wanita Popular dan Pasangan Serasi Popular turut diumumkan.

Undian sedang rancak berjalan dan untuk sama-sama menentukan pemenang, anda boleh mengundi di sini.

Untuk pembelian tiket Anugerah Telenovela di https://tykyt.my/

Maya Basir