Terhentak Di Bucu Katil Sehingga Tulang Mata Patah & Bengkak, Fasha Sandha Dikejarkan Ke Hospital

Pelakon Fasha Sandha dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran sebuah drama, semalam.

Menerusi perkongsian di Instagram, Fasha memuat naik sebuah video yang memaparkan babak yang dilakonkan sebelum mengalami kemalangan.

Lebih mengejutkan, kecederaan yang dialami Fasha yang kini dirawat di hospital pakar Johor Bahru boleh dikatakan serius kerana melibatkan bahagian kepala dan mata.

“Dari semalam telefon kakak tidak berhenti berdering. Disini saya ingin membuat sedikit update tentang kakak. Maaf kakak sedang rehat secukupnya.

“Kakak mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika berlakon di set penggambaran Anak Tuan TV3 pada 1 mac (pagi semalam).

“Mata dan kepalanya terhentak di bucu katil yang tajam. Tulang mata kiri patah dan bebola matanya kirinya berdarah dan bengkak dan sedang dirawat di Hospital pakar di Johor Bahru. Insya-Allah akan berpindah ke pakar di Kuala Lumpur petang ni atau esok pagi,” kongsi Fasha di Instagram.

Dalam pada itu, Fasha memaklumkan pihak produksi telah memohon maaf kepadanya dan keluarga atas kejadian yang berlaku.

Pelakon drama bersiri Natasha itu turut memohon semua pihak mendoakan kesihatannya.

“Memohon jasa baik peminat dan keluarga untuk mendoakan kesihatan kakak.

“Seperti yang ramai tahu kakak seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya. Saya yakin kakak kuat.

“Pihak produksi telah memohon maaf pada kakak dan keluarga nya. Kata kakak, Tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana kemalangan in terjadi di luar jangkaan kita,” tulisnya.

Khairil Khusyairi