Terima Mas Kahwin RM2,222, Raysha Rizrose Sah Bergelar Isteri Nabil Jeffri

Selepas mengikat tali pertunangan Disember tahun lalu, pelakon Raysha Rizrose,27, telah selamat diijab kabulkan bersama pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, 29, pada jam 8.52 malam tadi.

Memetik laporan Media Hiburan, pasangan sejoli tersebut dinikahkan oleh bapa Raysha, Mohd Fariz Arshad dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Majlis yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur secara tertutup itu dihadiri kira-kira 200 orang.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama.

Walaubagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Sehubungan itu, Raysha atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz meluahkan rasa syukur apabila segala perancangan berjalan dengan baik.

“Syukur segala-galanya yang dirancang selama ini dipermudahkan. Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.

“semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya selepas bergelar isteri.

Sumber: Media Hiburan

Atiqah Johari