#ThrowbackXTRA: Jasper Supayah Dedah Pernah Ditindas Gara-Gara Berbeza Agama

Pelakon Jasper Supayah tampil mendedahkan dirinya sering dihantui dengan masalah perkauman sepanjang penglibatannya dalam industri seni hiburan tanah air.

Menurut Jasper, ramai yang tidak mengetahui bahawa dirinya bukan Islam biarpun sering memegang watak wanita Melayu menerusi drama yang dilakonkannya.

Malah, pelakon berdarah campuran Cina dan India itu mengakui selesa dan gembira untuk mendalami budaya Melayu dan Islam setiap kali perlu menjayakan sesuatu watak.

“Dulu dan baru-baru ni jadi lagi sekali, saya pernah kena di mana salah seorang dalam industri bila semua benda dah confirm, tapi nama saya ditolak sebab nama saya ada ‘anak perempuan’.

“So dari situ saya rasa kecil hati sikit sebab selama ni saya cari rezeki halal dalam industri melayu dan semua kawan-kawan, producer, pengarah Melayu yang kenal saya memang sayang saya sebab saya dah serasi dengan budaya melayu.

“Tapi, rupa-rupanya ada lagi mereka yang masih ada isu perkauman. Sayang sebab saya rasa dalam Islam mereka tidak diajar untuk racist,” katanya.

Biarpun terpaksa menelan kisah duka sebagai anak seni, Jasper bagaimanapun meluahkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah produksi yang dianggap masih berfikiran di dalam kotak.

Namun, dirinya tidak pernah berputus asa dan menyerahkan segala urusan rezekinya kepada Sang Pencipta.

“Saya rasa sedih dan terkilan tapi saya positif. Saya rasa kesian dekat individu tersebut sebab walaupun dia orang atasan, tapi mindset tu masih dalam kotak. Masa nak setuju offer tu dia puji lakonan saya tapi tu lah.

“Bagi saya rezeki tak datang dari mereka. Semuanya datang dari tuhan dan saya bersyukur rezeki saya sentiasa ada. Saya rasa sebab saya pun seorang yang boleh ditegur dan saya sedar yang saya kena hormat bila masuk rumah orang macam ikut adat dan tak terus langgar je semua nanti tak ada adab pula,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jasper Supayah Lega Watak Gedik Menjadi

Fatin Nurain