Tiga Kali Nyaris Dibunuh, Mark Adam Pilih Berdamai & Terpaksa Menanggung Ribuan Ringgit

Penyanyi dan komposer, Mark Adam kekal tenang biarpun menanggung kerugian ratusan ribu akibat ditipu seorang kontraktor pembinaan rumah mentuanya.

Memetik laporan Kosmo, pengalaman dan kesukaran hidup yang dilalui di Cebu, Filipina membuatkan dirinya memilih untuk berdamai dengan takdir dan terpaksa mendapatkan khidmat kontraktor lain.

“Memang ramai bertanya kenapa saya tidak ambil tindakan kepada penipu tersebut. Saya tak mahu kecoh-kecoh. Perkara ini juga jadi pengajaran serta ujian yang kena saya terima.

“Saya datang dari kampung yang sangat ganas. Sejak kecil sudah berdepan kejadian ngeri termasuk nampak orang mati di depan mata. Saya sendiri nyaris tiga kali mahu dibunuh seseorang.

“Jadi sekarang saya mahu ketenangan, enggan memperbesarkan lagi isu tersebut. Biarlah hujung nanti mereka pun kena jawab di akhirat. Sekarang saya dan isteri meneruskan projek rumah itu secara beransur-ansur.

“Ada pihak yang mahu tolong. Apabila ada duit kami beli barang, kemudian mereka buat kerja binaan. Harap-harap dapat disempurnakan tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, Mark berharap agar kejadian seperti itu tidak terjadi kepada orang lain.

Meskipun ditipu, ia tidak setanding dengan layanan baik yang diberikan daripada keluarga mentuanya.

“Sekali lagi keluarga mentua bantu dan langsung tak pernah bersungut. Mana nak cari insan sebaik mereka. Sebab itu saya mahu membalas jasa mereka dengan membina kediaman selesa.

“Walaupun ditipu kontraktor, nilai yang saya laburkan tidak setanding dengan kebaikan diberikan kepada saya selama ini,” ujarnya.

Terdahulu, Mark meluahkan rasa terkilan apabila kontraktor yang diamanahkan membina kediaman untuk mentuanya melarikan diri dan kerja pembinaan tersebut terbengkalai.

Maya Basir