Categories: HiburanTrending

“Tiket Sudah Terjual 50 Peratus” – Datuk Hattan Sangkal Dakwaan Konsert Sifu Dan Aku Dibatalkan

Penyanyi legenda, Datuk Hattan menyangkal dakwaan pembatalan konsert Sifu dan Aku yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini.

Tergamam dengan spekulasi tersebut, Hattan memberitahu bahawa konsert tersebut mendapat sambutan ramai pihak dan setengah daripadanya telah laris terjual.

Bahkan, dia baru sahaja selesai mempromosikan konsert tersebut di Sabah.

“Isu itu sama sekali tidak timbul kerana saya amat terkejut mendengarnya.

“Tiket sudah terjual sebanyak 50 peratus. Saya juga akan ke Sabah lagi untuk promosi,” ujarnya.

Merujuk mStar, khabar angin tersebut kemungkinan bertujuan sebagai strategik pemasaran bagi membantu jualan konsert berkenaan.

Hattan berkata, orang ramai di negeri di bawah bayu itu lebih senang hati jika penyanyi yang bertungkus-lumus menjayakan promosi konsert berkenaan.

“Kadang-kadang dakwaan tersebut timbul sebagai salah satu strategi pemasaran untuk membantu jualan tiket namun apa yang pasti konsert ini berjalan mengikut jadual.

“Malah, penggemar muzik di sana lebih gemar penghibur yang bakal membuat persembahan turun padang sendiri untuk promosi.

“Mungkin mereka sering dihidangkan dengan berita pembatalan konsert. Macam baru ni saya turun Sandakan, ada peminat tu beli 50 tiket,” jelasnya.

Sementara itu, Hattan juga mengakui kerjasama daripada artis yang menjalankan kerja-kerja promosi dapat melariskan lagi penjualan tiket.

Baginya, artis perlulah bekerjasama dalam promosi konsert agar mencapai keadilan kepada kedua-dua belah pihak.

Sumber : mStar

Syamir Shafie