“Tipulah Saya Tidak Terasa Hati Apabila…” – Ayu Damit Jadikan Ejekan Pembakar Semangat

Penyanyi Ayu Damit mengakui ejekan artis ‘sendu’ (tidak popular) yang pernah dilabelkan ke atas dirinya masih berbekas di hati.

Namun begitu, Ayu sudah memaafkan mana-mana pihak yang berkata sedemikian dan bersyukur ejekan tersebut diambil sebagai pembakar semangat untuk terus bergiat aktif.

“Tipulah kalau saya katakan tidak terasa hati apabila sebelum ini ada pihak cakap saya ini artis sendu.

“Kalau sekali dua ayat itu dilemparkan mungkin saya okey, tapi kalau ramai yang menganggap saya artis sendu sedikit sebanyak ia menjejaskan emosi.

“Tapi bila difikirkan kembali saya perlu bersyukur kerana disebabkan ejekan itu saya berusaha untuk terus berjaya dalam industri seni.

“Setiap kutukan memberi satu pengajaran besar untuk saya supaya tidak lemah sebaliknya melakukan sesuatu jika mahu dikenali,” katanya.

Menurut Ayu, program Gegar Vaganza banyak mengubah kehidupannya menjadi lebih baik dan semakin dikenali.

“Alhamdulillah selepas meraih tempat ketiga dalam program itu saya tidak putus-putus mendapat tawaran daripada pelbagai pihak.

“Saya mula terasa kehadiran saya semakin diterima baik. Sekarang ini saya juga sudah mula aktif di media sosial sebagai langkah terbaik untuk generasi baru lebih mengenali saya.

“Saya harus berterima kasih kepada suami tercinta Syed Fauzi, rakan-rakan serta pihak media yang selalu menyokong dan memberikan kata-kata semangat untuk saya terus berjaya dalam bidang ini.

“Insya-Allah tahun ini saya bakal mengeluarkan single baru. Semuanya masih proses pembikinan dan tak sabar nak mulakan proses rakaman,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir