Tular Gadis Remaja Didera Teruk Bapa Tiri! Suspek Dibebas Dengan Jaminan Namun Kes Masih Dalam Siasatan

Baru-baru ini, tular mengenai seorang remaja perempuan didera dan dipukul oleh bapa tirinya di media sosial sejak Isnin.

Namun, pihak polis telah mengambil tindakan dan kes ini masih dalam siasatan.

Memetik laporan Gempak, kejadian tersebut berlaku kira-kira 11 malam pada 17 Ogos lalu berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Mangsa yang berusia 19 tahun itu mendakwa suspek menampar, menendang dan memijak kepalanya ketika sedang bertengkar dengan ibunya sehingga berlaku kecederaan seperti bengkak dan lebam di bahagian badan.

Kemudian, gadis tersebut telah dibawa ke Hospital Parit Buntar.

Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, pihak beliau menerima laporan pada 18 Ogos dan mangsa mendakwa dipukul oleh bapa tirinya sehingga cedera.

“Selepas menerima laporan itu, suspek berusia 45 tahun itu ditahan ketika hadir ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Kejadian didapati berpunca daripada masalah keluarga. Suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes ini tular apabila gadis tersebut mendedahkan bahawa bapa tirinya itu telah mencekik dan menampar pipinya sebelum ditolak dan kepala dihentak ke lantai menerusi akaun Instagramnya.

Lagi, remaja itu berkongsi rambutnya pernah ditarik, dilempang berkali-kali dan diterajang sehingga terhantuk di pintu.

Bukan itu sahaja, dia turut mendakwa yang bapa tirinya itu pernah mengambil parang kerana ingin menetaknya.

Walaubagaimanapun, gadis tersebut dibawa lari masuk ke rumah selepas jirannya ternampak kejadian tersebut.

“Dia tendang badan saya berulang kali. Dia pijak kepala saya banyak kali sambil hentak guna kaki dia. Mata bengkak lebam dan pecah darah sebab dia pijak guna tumit.

“Kepala saya bengkak. Doktor check dia terkejut kepala bengkak teruk. Belakang badan dari bahu sampai ke kaki bengkak. Rahang mulut bengkak. Kunyah, bersin pun sakit menguap tak boleh.

“Mata saya pecah darah tak nampak dengan jelas sampai sekarang. Doktor hospital terus hantar pergi Taiping untuk jumpa pakar mata. Doktor pakar kata eye movement tak okay,” jelasnya.

Apapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan akibat mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari