Categories: HiburanSelebriti

Umur Bukan Penghalang, Ini Sebab Alif Satar Sokong Golongan Belia 35 Tahun Sertai PLKN 3.0 – “Saya Tengok Ramai Yang 30-an Tak…”

Pengacara, pelakon dan penyanyi Alif Satar menyokong saranan golongan belia yang berusia 16 sehingga 35 tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut Alif yang juga merupakan bekas ikon PLKN ketika berusia 18 tahun, PLKN sangat bagus untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan belia.

“Saya berasa tidak perlu jadikan usia 35 tahun sebagai isu kerana perkara itu akan menyebabkan program itu dipandang negatif.

“Saya tengok sekarang ini mereka yang berusia 30-an, ramai yang tidak ‘fit’.

“Jadi, dengan adanya program PLKN ini, ia mampu untuk membantu mereka menjalani hidup yang lebih sihat dan berdisiplin,” jelasnya.

Alif ditemui semasa di sidang media drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Sementara itu, dia memberitahu PLKN bukan sahaja memperkasakan jati diri tetapi peserta berpeluang mendapat ramai kenalan dari seluruh negara.

“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan baru nak mengenal dunia, program ini amat sesuai sebab di situ lah saya berjumpa dengan ramai peserta dari pelbagai latar belakang yang akhirnya kekal menjadi kawan sehingga hari ini.

“Sehingga ke hari ini, jika saya ke Sabah, masih ada kawan saya dari kem PLKN yang masih berhubung dengan saya sehingga sekarang,” katanya.

Pada masa sama, Alif menyarankan untuk tidak melepaskan peluang untuk menyertai PLKN 3.0.

“Bila sesi pendaftaran program ini dah dibuka nanti, tak perlu fikir panjang. Daftar sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial ada pihak mendakwa peserta akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa 3.0 ini adalah dalam lingkungan umur 16 hingga 35 tahun.

Susulan perkara itu, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati kerana peluang untuk dipilih menyertai program berkenaan tinggi walaupun sudah berusia 25 tahun keatas.

Terkini, Kementerian Pertahanan Malaysia mengeluarkan kenyataan perjelaskan isu PLKN 3.0 bahawa sekiranya dilaksanakan pada tahun 2024, hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut.

Namun, sekiranya tidak menyertai atas sebab yang dibenarkan, maka pelatih boleh membuat penangguhan sehingga umur 35 tahun.

Maya Basir