Usia Perkahwinan Bersama Ramli MS Cecah 10 Tahun, Alyah Serah Soal Zuriat Pada Tuhan – “Tipulah Kalau Tak Putus Asa”

Penyanyi Datin Alyah memaklumkan dia tidak tertekan apabila memikirkan soal zuriat biarpun usia perkahwinannya kini mencecah 10 tahun.

Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, dia dan suami yang juga maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS hanya berserah kepada Yang Maha Esa.

“Tak ada masalah, belum ada anak kecil jadi boleh diuruskan semuanya.

“Bagi Tok Ram, dia dah ada dua ‘junior’, tapi saya belum lagi.

“Saya tak stress memikirkan tentang itu. Saya percaya perancangan Allah itu lebih hebat daripada kita,” katanya dalam rancangan hiburan popular TV3, Melodi.

Disoal adakah bercadang untuk membuat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) kelak, Alyah berkata kepadatan jadual membuatkan dia belum memulakannya.

“Untuk rawatan itu kita bertanya-tanya juga, walaupun saya tak banyak muncul di kaca televisyen tapi Alhamdulillah masih memenuhi jemputan acara dan nyanyian.

“Saya tak boleh katakan apa-apa lagi sebab jadual saya agak padat.

“Seperti yang kita tahu, rawatan IVF ini kena betul-betul bertenang dan jadual juga kena kosong. Kalau ada rezeki Allah nak beri, kita terima,” jelasnya positif.

Dalam pada itu, pelantun lagu Meluruh ini berkata suaminya juga bersikap positif mengenai itu dan rumah tangga mereka dalam keadaan baik.

“Dia okey sahaja. Orang luar pasti fikir bila kami tak banyak gambar dan video bersama tapi sebenarnya kami baik-baik saja.

“Dia juga bukanlah seorang yang terburu-buru. Nak kata bahagia betul, biasalah rumah tangga ada pasang surutnya,” kongsi Alyah.

Akui ada perasaan pasrah sehingga berputus asa, Alyah berkongsi dia banyak mendengar ceramah agama dan hanya berserah kepada Tuhan.

“Tipulah tak ada (putus asa), saya seorang wanita biasa. Saya melalui proses matang sebagai wanita, jadi bila kita banyak mendengar ceramah untuk menguatkan rohani.

“Jadi kita tahu hakikatnya adalah kita bukan perancang yang hebat sebab banyak perkara yang saya rancang tidak menjadi .

“Di penghujung jalan kehidupan itu, kita kena berserah. Tak perlu stress, kita akan rasa tenang. Apa yang kita cari dalam kehidupan adalah ketenangan kerana ia sungguh mahal,” tutupnya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dalam sebuah majlis secara rahsia di Indonesia.

Sumber: Melodi TV3

Khairil Khusyairi