[VIDEO] Kini Lebih Selektif, Fattah Amin Tolak Banyak Tawaran Berlakon Kerana…

Pelakon Fattah Amin kini lebih selektif dalam memilih watak untuk dilakonkan.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 32, banyak menolak tawaran lakonan kerana mahu menjayakan watak yang berbeza sepanjang perjalanan kariernya sebagai aktor.

Jelas suami kepada pelakon Nur Fazura ini, dia lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti dalam lakonannya.

“Saya a bit selective sebab saya tak nak buat watak yang sama.

“Saya lagi mementingkan quality over quantity, banyak juga tawaran yang saya tolak,” ujarnya kepada XTRA.

Ketika ditanya mengenai watak yang ‘daring’ dan mencabar diri, Fattah menyatakan dia tidak akan menerima lagi tawaran watak seperti itu kerana dia sudah berjaya melaksanakannya.

“Sebelum ini saya dah jayakan watak sedemikian dalam drama Khilaf Asmara, so mungkin kalau dapat lagi watak macam tu… mungkin tak buat kot.

“Sebab saya suka explore, saya tak suka buat benda yang sama,” ujarnya.

Fattah ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul Pada-Mu di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, pada Rabu.

Masih mengekalkan konsep ketuhanan untuk buah tangan terbarunya ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Salleh, Fattah mendedahkan lirik asal lagu itu terpaksa dirombak untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang dia inginkan.

“Lagu ini mengisahkan tentang rasa seorang hamba pada pencipta-Nya yang sentiasa percaya pada-Nya. Walaupun sehebat mana kejayaan yang kita kecapi atau sedalam mana kegagalan yang kita alami, kita masih tetap rasa cinta dan syukur di bawah peliharaan dan lindungan-Nya.

“Melodi asal lagu ini sebenarnya dicipta oleh Ikhwan. Cuma liriknya telah diubah semula setelah saya berkongsi dengan Universal Music mengenai hala tuju dan maksud yang saya mahukan untuk lagu terbaru saya itu,” katanya.

Atiqah Johari