Jarang Kongsi Foto Suami Di Media Sosial, Noor Nabila Lebih Selesa Untuk Kekalkan Privasi

Memilih untuk mengekalkan kehidupan peribadi yang privasi, kakak kepada selebriti terkenal Neelofa, Noor Nabila tampil menafikan sedang melalui masalah rumah tangga dengan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Menurut Nabila, biarpun dia jarang memuat naik gambarnya bersama Emran, tidak bermakna mereka sedang mengalami keretakkan rumah tangga.

“Suami saya seorang yang jarang berkongsi perihal peribadi di media sosial, secara tidak langsung saya pun jadi terikut dengan sikapnya itu.

“Bila anda dapat suami yang suka berkongsi, anda juga akan jadi sama naik. Saya dan dia sama. Kita pun dah melalui perkahwinan ketiga jadi kita lebih berhati-hati sikitlah.

“Namun, itu tidak bermakna retak atau apa. Kita percaya sahajalah seperti orang kata jodoh, ajal, maut ini semuanya kerja Tuhan.

“Begitu juga dengan perkahwinan. Selagi ada jodoh saya dengan suami, selagi itulah. Tak payahlah orang nak cuba teka atau membuat andaian,” katanya.

Walaupun kehidupan peribadinya sering menjadi tumpuan netizen, Nabila menganggap perkara itu sebagai lumrah kehidupan sebagai keluarga selebriti.

“Saya tidak dapat lari daripada tempias kerana adik saya Neelofa, bekas suami saya, Sharnaaz Ahmad adalah artis. Begitu juga anak saya yang ada peminat tersendiri.

“Apa pun, saya hormat dengan pihak yang berminat untuk tahu. Namun, jika saya pilih untuk tidak berkongsi mungkin mereka pun kena hormat sekalilah kan,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain