[VIDEO] Rosyam Nor Sokong Penukaran RUU Produk Tembakau & Rokok – “Hentak Sampai Jadi!”

Penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor, menyokong tindakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membuat penukaran Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, baru-baru ini.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin mencadangkan untuk mengadakan kempen kesedaran besar-besaran serta meminta sokongan Ahli Parlimen mengenai RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan seterusnya diluluskan oleh Dewan Rakyat minggu ini.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram, Rosyam telah memaklumkan dirinya mula merokok pada usia 18 tahun dan mula merasa kesan sampingannya pada usia 55 tahun.

“YB KJ (Khairy Jamaluddin) nak tukar Rang Undang-Undang ni, memang aku sokong 100 peratus, aku sokong 300 peratus!

“Aku dah hisap rokok sejak umur aku 18 tahun. Dah banyak duit aku habis. Sekarang, umur aku 55 tahun, semput. Naik tangga pun semput,” katanya.

Menurut Rosyam, usaha ini juga merupakan satu kebaikan yang dapat membantu rakyat Malaysia kekal sihat.

“Jadi, memang bagus sangat dan aku sokong untuk tukar RUU ini supaya semua rakyat Malaysia sihat.

“YB KJ buat benda ini bukan untuk keburukan, tetapi, kebaikan. Jadi, aku harap, semua orang dapat berikan sokongan sebab ini benda baik,” katanya.

Menerusi perkongsian itu juga, Rosyam turut menyatakan dia akan turut serta sekiranya dianjurkan program insentif demi membantu masyarakat berhenti merokok.

“Aku dah jadi perokok. Kalau YB KJ nak buat insentif untuk orang berhenti merokok macam aku, aku akan sertai dan aku nak berhenti merokok.

“Kamu semua yang lahir pada 2007 serta ibu bapa, ini adalah perkara baik dan sokonglah perkara ini. YB KJ apa pun, hentak sampai jadi!,” katanya.

Perkongsian tersebut juga mendapat pelbagai reaksi daripada pengikutnya dan rakan artis yang rata-ratanya turut menyokong RUU tersebut ditukarkan.

Fatin Nurain