[VIDEO] “Tak Kuat Nak Dengar Sampai Habis..” – Yasin Sulaiman Tunaikan Perminataan Anak Nyanyi Lagu ‘Bebaskan Aku’ Disebalik Tirai Besi

Penyanyi dan komposer sensasi, Yasin Sulaiman baru-baru ini berjaya menghasilkan sebuah lagu berjudul ‘Bebaskan Aku’ meskipun disebalik tirai besi penjara di Sungai Buloh.

Terbaru, Yasin sempat menunaikan hasrat anak perempuannya, Malaika yang meminta bapanya itu untuk menyanyikan lagu tersebut.

Menerusi satu hantaran video di akaun Instagram Yasin, ahli keluarganya bercerita bahawa mereka ada melawat Yasin di penjara.

“Klip audio Yasin menyanyikan lagu Bebaskan Aku yang dicipta pada bulan Mei lepas.

“Semasa lawatan ke penjara yang lepas, Malaika telah meminta ayahnya untuk menyanyikan lagu ini untuknya.

“Beberapa hari kemudian, kami meminta Yasin untuk menyanyikan semula lagu ini menerusi panggilan telefon supaya ia dapat direkodkan dan dihayati oleh semua,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Video yang berdurasi 3:45 minit itu memaparkan suara Yasin yang sedang menyanyikan lagu itu dari permulaan lagu sehingga habis.

Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri dengan komen netizen yang meluahkan rasa sayu mereka apabila mendengar suara gemersik pelantun lagu Bebaskan Aku itu.

Dalam pada itu, ramai yang turut mendoakan kesejahteraannya di dalam penjara serta sempat menyuntik kata-kata semangat buat penyanyi kegemaran mereka.

Terdahulu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu. Bagaimanapun Yasin mengaku tidak bersalah susulan pendakwaan.

Aqilah Paharuzi