Zoey Rahman Mahu Lanjut Pengajian Dalam Bidang Perniagaan, Anggap Ilmu Penting Walaupun Sudah Bergelar Selebriti

Selebriti Zoey Rahman berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi dan perniagaan bagi menambah ilmu dan meluaskan pengetahuan dalam mengurus tadbir dan mengembangkan perniagaannya.

Menurut Zoey, perancangan untuk melanjutkan pengajian itu muncul selepas dicadang dan ditawarkan secara tidak langsung oleh Pegawai tinggi Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi sewaktu mengendalikan majlis MOU antara Usanita dan institusi tersebut tahun lalu.

“Bagi saya ilmu itu adalah perkara asas yang paling penting jika seseorang mahu menceburi sesuatu bidang dan ingin Berjaya.

“Sebelum ini saya sering mengikuti kursus latihan jangka pendek dan ianya masih belum mencukupi kerana semakin digali semakin banyak yang perlu kita tahu dan belajar.

“Sekarang ini masih lagi dalam perbincangan. Orang kata belajar ni kena kejar untuk masa depan syarikat kita. Jadi saya akan bergelar pelajar tidak lama lagi. Sekarang hanya tunggu intake kemasukkan je,” katanya.

Dalam pada itu, Zoey juga sempat mengulas tentang kepentingan seseorang untuk terus menimba ilmu meskipun sudah bergelar pempengaruh, selebriti dan sebagainya.

“Sebenarnya, ilmu ni kita kena kejar dan cari. Ilmu adab, ilmu agama, pelbagai ilmu kita kena belajar supaya kehidupan kita ni dirahmati dan berpengetahuan. Jadi, tak adalah orang pijak kepala kita.

“Walaupun kita influencer gred A ke gred B ke kalau tak ada ilmu pun susah juga. Jadi, ilmu tu memang sangat penting sebab itu saya walaupun sudah berusia, saya masih lagi mencari ilmu melalui TikTok, buku untuk tambah pengetahuan dalam bidang pemasaran ni.

“Orang kata kalau melancong, luas pemandangan. Sama juga macam ilmu, tak kira influencer ke artis ke ilmu kena kejar,” jelasnya.

Fatin Nurain