Categories: Konsert

Konsert Patah Hati 2.0 Sembuhkan Luka Lebih 2,000 Peminat

Konsert Patah Hati 2.0 anjuran ANS Diversified Sdn Bhd yang berlangsung dengan gemilang di Zepp LK semalam menampilkan kehebatan menerusi gandingan 7 artis terkenal di pentas.

Hampir lebih 2,000 peminat telah terhibur dan tersentuh emosi menyaksikan persembahan Ernie Zakri, Syamel, Aisha Retno, Nadeera, Ismail Izzani, Naim Daniel dan Neeta Manis menyampaikan lagu-lagu bercorak cinta, galau dan patah hati daripada lagu hits masing-masing selain lagu sentimental malar segar dendangan artis legenda Malaysia dan Indonesia.

Antara kelainan yang dipersembahkan adalah Ernie Zakri menyanyikan lagu terbarunya, Masing-Masing buat pertama kali di pentas konsert besar. Lagu itu sedang trending di platform media sosial terutamanya di YouTube dan turut dimuatkan dalam albumnya, Aura.

Ernie juga tidak keseorangan di pentas apabila dia dan suaminya, Syamel berduet dalam lagu Ella, Sembilu. Syamel turut melagukan lagu terbarunya, Belakang Tabir, selain lagu-lagu hitsnya sendiri.

Aisha Retno yang sebelum ini pernah muncul dalam Konsert Patah Hati 1.0 lalu memperdengarkan lagu terbarunya, Cukuplah dan Terbang.

Tidak kurang mendapat sambutan hangat adalah Naim Daniel bersama band Muah yang julung kali memperdengarkan lagu Kajang dan BF.

Nadeera pula selain lagu sendiri, Emas, telah memilih lagu malar segar Francissca Peter, Fauziah Latif dan Dato Seri Siti Nurhaliza untuk menghiburkan peminatnya.

Ismail Izzani tampil hebat beraksi bersama lagu Luar Biasa dalam versi akustik sementara Neeta Manis menyampaikan lagu Depresi, Hanya Mimpi dan Move On.

Info tambahan, Konsert Patah Hati 2.0 adalah acara hebat susulan kepada Konsert Patah Hati pertama yang berlangsung di lokasi sama pada Mac lalu. la mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) Persembahan Muzik daripada Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia melalui MyCreative Ventures.

Afiq Kandi