Categories: Konsert

Penuh Dengan Kejutan… Tawan Hati 4,500 Penonton, Ini Antara Yang Menarik Di Konsert Ruffedge!

Kumpulan R&B Ruffedge berjaya membuat seluruh peminatnya galau di malam Konsert Ruffera: That Moment In Time Tour anjuran YOLO Malaysia, pada Sabtu lalu.

Konsert yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang itu telah dihadiri seramai 4,500 penonton sekali gus memeriahkan lagi konsert mega kumpulan itu.

Kumpulan yang dianggotai oleh Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain ini juga telah menghiburkan peminat yang hadir dengan lagu-lagu mereka yang menggamit memori selama dua jam lebih tanpa henti.

Tampil menyanyikan sebanyak 25 buah lagu, konsert itu juga dapat menyaksikan pelbagai kejutan yang menjadi memori berharga buat penonton yang hadir.

Antara lagu yang menjadi siulan penonton pada malam itu adalah Goyang, Tiada Lagi Cinta, Tipah Tertipu, Da Bomb, Lemas, Bila Rindu, Khayalan dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, konsert Ruffera itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa artis jemputan seperti The Fabulous Cats dan Lah Ahmad.

Ketika konsert berlangsung, kumpulan The Fabulous Cats tampil menyanyikan lagu popular mereka seperti Bawaku Terbang, Papa Jahat dan Rimas.

Manakala, Lah Ahmad pula tampil menyanyikan lagu Ayu dan Jatuh sekali gus membuatkan seluruh dewan itu gamat dengan jeritan dari penonton.

Secara kesuluruhannya, konsert Ruffera telah menerima sambutan yang baik dari peminat yang hadir dan berpuas hati dengan setiap persembahan yang disajikan kepada penonton.

 

Fatin Nurain