Categories: LIFESTYLE

Cara Elak & Bantu Mangsa Disambar Petir

Kilat boleh menyambar di mana-mana lokasi lebih daripada sekali.

Keadaan ini boleh berlaku secara kebetulan memandangkan terdapat berjuta ribut petir berlaku setiap tahun, tambahnya.

“Selain itu, antara ciri-ciri suatu kawasan yang cenderung disambar kilat adalah disebabkan faktor ketinggian (objek yang tinggi lebih cenderung dipanah) serta aktiviti yang dijalankan ketika ribut petir berlaku,” katanya.

Jailan menjelaskan mangsa yang disambar kilat boleh mengakibatkan kecederaan parah sehingga membawa maut serta mengalami kelecuran tahap ketiga yang melampaui lapisan bawah kulit termasuk lemak, otot, tulang dan saraf.

“Kilat yang menyambar seseorang mampu menjana voltan elektrik yang amat tinggi sehingga mencecah 120,000 volt, lebih daripada mencukupi untuk menyebabkan kejadian jantung manusia terhenti (cardiac arrest).

CARA-CARA ELAK DISAMBAR PETIR

Pensyarah Pusat Elektromagnet dan Penyelidikan Perlindungan Kilat (CELP) Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata antara langkah keselamatan yang boleh diambil ketika ribut petir ialah dengan menjauhi wayar telefon, komputer, peralatan serta objek yang boleh mengalirkan arus elektrik seperti paip tembaga dan paip yang diperbuat dari besi.

“Ketika seseorang berada di kawasan terbuka, segera masuk ke dalam bangunan atau kereta yang berhampiran dan elak daripada berteduh di bawah pokok.

“Jika dalam keadaan terdesak dan tiada tempat berlindung, langkah terakhir bagi mengurangkan risiko dipanah petir adalah duduk dalam keadaan mencangkung ke tanah dengan meletakkan tangan di lutut serta kepala diletakkan di celah kedua-dua lutut,” jelasnya.

Beliau yang juga profesor lantikan strategik Institut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional, Universiti Tenaga Nasional berkata posisi sedemikian mampu membantu menjadikan badan seseorang sekecil mungkin dan meminimumkan sentuhan dengan tanah.

BANTU MANGSA DISAMBAR PETIR

Mohd Zainal berkata sekiranya berdepan dengan mangsa yang disambar petir, usah bimbang untuk menghulurkan bantuan kerana mangsa tidak menyimpan cas elektrik di badannya.

“Hubungi talian kecemasan dan laporkan kepada pihak berkuasa dan hospital. Kebiasaannya jantung mangsa akan terhenti secara tiba-tiba dan ketika ini, rawatan kecemasan penting bagi menyelamatkan mangsa.

“Berikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sekiranya tahu dan tutup kulit yang melecur dengan kain bersih, pastikan tidak membalut kulit melecur tersebut,” katanya.

Sekiranya mangsa sedar tetapi mengalami gejala kejutan, baringkan mangsa dalam keadaan kepala lebih rendah daripada tubuh dan kaki, tambahnya.

Yang pasti, seseorang seharusnya terlebih dahulu memastikan keselamatan diri sendiri dan tiada risiko disambar petir sebelum menyelamatkan mangsa, katanya.

Sumber : Bernama

SGMS Enal