Lokasi Kehilangan Tiada Liputan Telefon, Apa Punca Dua Beradik Hilang 5 Jam Di Bukit Pelindung?

Tular minggu lalu apabila kes kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan (Acap) masih menemui jalan buntu walaupun misi pencarian dan segala ikhtiar dijalankan. Terbaru, dua beradik yang menyertai aktiviti riadah di Bukit Pelindung, Kuantan dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kedua-dua mangsa iaitu Norfarah Hana Derahman, 22, dan kakaknya, Norul Baiyah Derahman, 29 memasuki trek hutan bukit berkenaan untuk beriadah pada pukul 5.30 petang.

“Bagaimanapun kedua-dua mereka gagal dihubungi oleh anggota keluarga selepas itu menyebabkan salah seorang daripada saudara mangsa membuat laporan polis tentang perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Ahli keluarga mangsa cuba menghubungi menerusi panggilan telefon dan Whatsapp namun lokasi kehilangan mereka dilaporkan tidak mempunyai liputan talian telefon.

Berikutan itu operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Hiking Pahang dan anggota keluarga. Selepas 5 jam operasi dijalankan, kedua-dua mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira jam 10.20 malam oleh orang awam.
Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”