Categories: Oh Lawa

5 kesalahan ketika mencuci muka

Oleh Ainur Nadhirah Bahrom Shah

Mencuci muka adalah perkara wajib bagi kebanyakan wanita. Ia merupakan perkara asas untuk memastikan kulit berada dalam keadaan yang sihat, bersih dan berseri. Oleh sebab itu, mencuci muka adalah disiplin yang paling  penting dalam rutin kecantikan.

“Pembersihan muka yang betul menghalang pertumbuhan jerawat, boleh meningkatkan kesihatan kulit dan mungkin mengurangkan keradangan kulit,” jelas Joshua Zeichner MD, Pengarah Penyelidikan Kosmetik dan Klinikal Dermatologi di Mount Sinai Hospital, New York City.

Meskipun mencuci muka memang nampak mudah iaitu dengan membasahkan muka dengan air, menyapu pencuci muka dan bilas. Siap! Walaupun ia sudah menjadi rutin harian, mungkin ada kesilapan yang tidak disedari yang kita lakukan ketika mencuci muka.

1. Mencuci muka dengan tangan yang kotor

Foto: Bababeli.com

Ramai yang mengabaikan amalan ini kerana berpendapat tangan yang dibasahi  dengan air sudah cukup bersih. Tangan kotor yang terus bersentuhan dengan kulit wajah akan memindahkan kuman-kuman terus ke muka kita. Ini kerana tangan adalah anggota badan yang paling berpontensi terdedah dengan jangkitan kuman. 

2. Salah dalam pemilihan produk

Sebelum kita membeli pencuci muka, kita perlu mengenal pasti jenis kulit kita terlebih dahulu. Kulit manusia mempunyai lima kategori jenis kulit iaitu kulit kering, kulit normal, kulit kombinasi, kulit berminyak dan kulit sensitif. Oleh sebab itu kita perlu memilih pencuci muka yang khusus mengikut jenis kulit. 

3. Menggunakan suhu air yang salah

Foto: Shopback.co.id

Mitos mengatakan bahawa membasuh muka dengan air panas berupaya  membuka liang pori dan kemudian membilas muka dengan air sejuk. Tidak! Sebaliknya air panas akan menyebabkan salur darah dalam kulit berkembang serta menyebabkan tisu lembut pada kulit koyak lebih-lebih bagi kulit sensitif. 

Selain itu, ia akan membuang minyak semula jadi yang ada pada kulit wajah dan menyebabkan kulit gatal, kering dan rapuh. Seeloknya, gunakan air suam atau sejuk untuk mencuci muka. 

4. Terlalu kerap mencuci muka

Muka perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam sebelum tidur. Kebanyakan wanita mencuci muka mereka berkali-kali. Mereka beranggapan bahawa ia dapat membuat muka menjadi lebih bersih. Salah! Malah, ia membawa kepada kulit yang kering dan iritasi boleh terjadi.

Jangan terlalu kerap membasuh muka kerana minyak semula jadi yang ada pada muka yang membantu melembapkan kulit akan terhakis. 

5. Lap muka dengan tuala badan

Foto: bukanaku.com

Berkongsi tuala badan dan muka adalah perkara yang perlu dielakkan. Walaupun kita beranggapan bahawa badan kita cukup bersih selepas mandi, sebenarnya tidak. Ada bakteria yang tinggal di kawasan yang berbeza pada tubuh kita dan boleh merebak ke muka. Seeloknya beli tuala yang berasingan untuk mengelap muka. 

tex_admin