Categories: Oh Lawa

Betul ke ubat gigi boleh hilangkan jerawat? Ini jawapan pakar

Ketika remaja dulu, pasti ramai yang pernah mengalami masalah kulit khususnya jerawat. Masalah akne lazimnya berlaku apabila seseorang itu mencapai akil baligh kerana hormon di dalam badan ketika itu  akan mengalami perubahan.

Perubahan itu menyebabkan jumlah hormon androgen bertambah, sekali gus membuatkan kelenjar minyak dalam kulit membesar dan menghasilkan lebih banyak sebum.

Bila teringat balik, ngeri rasanya mengenangkan apabila jerawat yang timbul tidak dapat dikawal! Memang menjengkelkan!

Selain produk penjagaan kulit yang dijual di pasaran, ada bermacam-macam ‘petua’ yang dikatakan boleh mengubati masalah kulit.

Satu daripadanya adalah dengan menyapu ubat gigi ke atas jerawat. Adakah penggunaan ubat gigi betul-betul berkesan dan yang paling penting, adakah ia sebenarnya bagus untuk kulit?

Foto: Getty

Menurut Dr. Sunirmal Sharkar daripada syarikat penjagaan kulit Sönd Skin, petua berkenaan mungkin berkesan tetapi boleh menyebabkan masalah lain. 

“Walaupun ubat gigi boleh mengeringkan jerawat anda, ia mungkin juga akan menjadikan kulit anda lebih kering, meradang dan menggelupas,” katanya.

Anda patut tahu yang kebanyakan ubat gigi mengandungi ramuan seperti serbuk penaik (baking soda), hidrogen peroksida, alkohol, menthol dan kalsium karbonat.

Kesemua ini akan menyebabkan keradangan kepada kulit anda dan mungkin boleh membuat kulit terbakar, bergantung pada berapa lama anda membiarkannya di atas kulit.

Dr Sunirmal berkata, meskipun kini kebanyakan pengguna sudah mula mencari alternatif ubat gigi yang lebih lembut atau berciri semula jadi, penggunaannya untuk menghilangkan jerawat masih boleh dipertikaikan

“Jika ubat gigi biasa pun tidak cukup bagus untuk gigi, kenapa pula anda menganggap yang ia baik untuk menghilangkan jerawat?” katanya.

Apa saja jenis ubat gigi tidak disarankan untuk dijadikan sebagai ‘ubat’ untuk merawat masalah kulit. –  Foto: Bulverde North Family Dental

Memandangkan penggunaan ubat gigi sebagai kaedah untuk merawat jerawat tidak baik untuk kulit, apa yang sepatutnya dilakukan untuk menghilangkan jerawat?

Hakikatnya hendak mengubati kulit yang bermasalah bukanlah senang. Apa jua cara yang berkesan untuk orang lain tidak semestinya baik untuk kulit kita.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk memastikan kulit tampak lebih baik.

Antaranya adalah dengan mengurangkan pengambilan tenusu, melakukan teknik pencucian muka double cleansing, minum lebih banyak air dan menukar sarung bantal.

Dr Sunirmal juga mengesyorkan supaya anda menggunakan produk penjagaan kulit yang mengandungi benzoil peroksida (benzoyl peroxide) atau asid salisilik (salicylic acid) yang boleh mengurangkan kemerahan dan mempercepatkan penyembuhan kulit ataupun minyak pati (essential oil) seperti tea tree atau minyak lavender.

Paling penting, sayangi kulit sendiri dengan tidak menggunakan produk kasar yang akan memburukkan lagi keadaan.

Ingatlah, bukan semua panduan kecantikan yang orang kongsikan boleh diterima pakai!

Ad Ops