Pelakon popular Scha Alyahya bersetuju dengan pandangan aktor Yusuf Bahrin yang sebelum ini menyifatkan dunia seni tidak seindah yang disangka ramai.
Menurut Scha, masyarakat sering melihat kehidupan selebriti dari sudut populariti, kemewahan dan glamor semata-mata tanpa mengetahui cabaran sebenar yang perlu ditempuhi di sebalik tabir.
Katanya, perkara itu turut diketengahkan menerusi filem terbaharunya, Kata Hati, yang membawa mesej tentang persepsi masyarakat terhadap kehidupan seorang artis.
“Dalam filem Kata Hati, antara perkara yang cuba ditunjukkan ialah bagaimana orang ramai hanya melihat apa yang berlaku di permukaan.
“Mereka nampak kehidupan seorang selebriti dari luar, tetapi tidak mengetahui apa yang sebenarnya dilalui di sebalik kerjaya ini. Pada akhirnya, ia tetap sebuah pekerjaan yang mempunyai turun naik seperti bidang lain.

“Ada banyak cabaran yang tidak kelihatan. Kadang-kadang bukan sahaja melibatkan diri sendiri, malah keluarga juga terkena tempias daripada persepsi atau pandangan orang ramai. Itu antara perkara yang agak berat untuk ditanggung,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem 5 Bomoh, baru-baru ini.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengakui industri hiburan tempatan mempunyai cabarannya tersendiri kerana saiz pasaran yang lebih kecil berbanding industri perfileman antarabangsa.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan artis tempatan perlu bekerja lebih keras dan memikul pelbagai tanggungjawab untuk memastikan kerjaya mereka terus berkembang.
“Kalau kita lihat pelakon Hollywood, ada yang hanya terlibat dalam satu atau dua projek besar setahun tetapi memperoleh pendapatan yang sangat tinggi.
“Keadaannya berbeza di Malaysia. Artis bukan sekadar berlakon. Kami juga perlu terlibat dalam promosi, pemasaran, aktiviti media sosial dan membina jenama peribadi sendiri.
“Sebab itu kadang-kadang apabila orang melihat dari luar, mereka mungkin fikir kehidupan artis sentiasa mudah. Ada juga yang berkata, kalau susah kenapa pilih jadi artis.

“Tetapi hakikatnya setiap orang ada cabaran dan perjuangan masing-masing dalam mencari rezeki. Saya tidak membandingkan kesusahan sesiapa, cuma setiap pekerjaan mempunyai ujian yang berbeza,” katanya.
Dalam masa sama, Scha berkata industri hiburan tempatan turut berdepan kekangan dari sudut pasaran yang lebih terhad berbanding negara-negara lain di rantau Asia.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan bukan sahaja kepada artis, malah turut dirasai syarikat produksi, penerbit dan seluruh pemain industri kreatif.
“Pasaran kita tidak sebesar negara lain dan peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa juga mempunyai banyak cabaran.
“Apabila bercakap soal pendapatan dan peluang pekerjaan, perkara itu bukan hanya melibatkan artis semata-mata. Ia turut memberi kesan kepada penerbit, kru produksi dan semua yang mencari rezeki dalam industri ini.
“Bukan bermaksud kami tidak mempunyai pekerjaan, tetapi peluang itu tidak datang sepanjang masa. Ada masa naik dan ada masa turun. Itulah realiti yang perlu kami hadapi,” katanya.
Memegang watak Sakinah, Scha bergandingan dengan ramai pelakon popular dalam filem 5 Bomoh yang sedang hangat ditayangkan di pawagam.
5 Bomoh mengisahkan Rashdan lakonan Datuk Aaron Aziz yang terlalu taksub dengan amalan tahyul demi memastikan anaknya, Nisa, memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Bersama isterinya, Sakinah yang dilakonkan Scha Alyahya, mereka mengembara ke seluruh negara mencari bomoh selepas Nisa gagal memperoleh semua A dalam peperiksaan percubaan SPM.
Namun, setiap bomoh yang ditemui hanyalah scammer yang mengambil kesempatan terhadap mereka.
Filem arahan Syed Fariz itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Ungku Hariz, Tiara Suraya Rose, Johan, Ozlynn Waty serta penampilan khas Khairy Jamaluddin sebagai Mr K.








