Pengasas Pondok Model Nusantara Al Isyraq (PMNI), Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Banteni, tegas menyatakan bahawa institut pengajian tersebut tidak mendorong pelajarnya menjadi pendakwah selebriti.
Menurut Syeikh, PMNI yang berpusat di Kuala Selangor bertujuan melahirkan pendakwah yang benar-benar fokus kepada agama, bangsa, dan negara, bukan mengejar populariti.
“Untuk bergelar pendakwah atau pendakwah selebriti, ia terpulang pada niat masing-masing. Namun, di PMNI, kami tidak pernah merancang untuk mendidik pelajar madrasah ke arah menjadi selebriti.
“Fokus kami adalah melahirkan pendakwah yang berdedikasi dalam berkhidmat kepada agama, umat, bangsa, dan negara kerana peranan tersebut lebih bermanfaat,” katanya.
Kenyataan ini disuarakan apabila Syeikh diminta mengulas isu segelintir pendakwah selebriti yang terpalit kontroversi.

Syeikh menegaskan bahawa pelajar PMNI digalakkan menjauhi aspirasi menjadi pendakwah selebriti kerana risiko tanggapan negatif terhadap agamawan jika terlibat dalam isu sensasi.
“Menjadi pendakwah popular adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Seperti kata pepatah, ‘tanamlah benih pokok dalam-dalam supaya ia tumbuh tinggi, rendang, dan berbuah lebat.’
“Maksudnya, kita mendidik pelajar dengan ilmu, akhlak, dan jiwa yang mendalam, bukan mengejar populariti. Ini lebih penting dalam konteks pengabdian kepada agama dan masyarakat,” jelasnya lagi.
Dana RM15 Juta untuk Pembangunan PMNI
Dalam usaha meningkatkan keselesaan dan keberkesanan pendidikan, PMNI kini merancang membina bangunan baharu dengan kos anggaran RM15 juta.
Bangunan ini bakal dilengkapi dengan kemudahan moden seperti kelas, surau, asrama, rumah tenaga pengajar, gelanggang futsal, dewan makan, dan pelbagai teknologi canggih.
“Kami mahu melahirkan generasi yang seimbang dari segi zahir, batin, dan akal, selaras dengan kehendak ibu bapa hari ini.

“Dengan kaedah pembelajaran terkini, tempoh pengajian 15 tahun mampu disingkatkan menjadi lima tahun. Projek perintis kami (2020-2024) telah berjaya menghasilkan pelajar yang kini melanjutkan pengajian di Mesir,” kata Syeikh.
Syeikh turut mengharapkan sokongan masyarakat untuk merealisasikan pembangunan ini secara berperingkat.
Program Pendidikan Berkebajikan untuk Ummah
Ditubuhkan pada 2020, PMNI menawarkan aliran Tahfiz-Alim-Akhlak dengan misi membentuk ulama’ yang mampu memimpin generasi akan datang.
Setakat ini, seramai 23 pelajar sedang mengikuti pengajian di bawah Manhaj Pendidikan Al Isyraq, yang merangkumi penguasaan Bahasa Arab, hafazan Al-Quran, hadis, dan pembentukan akhlak. Lima pelajar generasi pertama kini melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Pada Mei 2023, PMNI melancarkan Program Pendidikan Berkebajikan, memberi peluang kepada orang ramai untuk menaja pengajian pelajar yang layak.

“Inisiatif ini bertujuan menyediakan pendidikan percuma dari ummah, kepada ummah, demi manfaat ummah,” ujar Syeikh.
Syeikh turut menegaskan bahawa yuran rendah yang dikenakan sejak penubuhan PMNI tidak pernah dinaikkan, sejajar dengan komitmen institusi untuk membela pelajar dalam perjuangan ilmu.
PMNI kini membuka ruang kepada orang ramai untuk berinfaq melalui akaun bank: MAYBANK 5541 1052 1332 (Pertubuhan Kebajikan Al Isyraq Nusantara).








