Categories: Sihat

Tertelan Gula-Gula Getah Boleh Meragut Nyawa, Itu Berita Mengarut Tapi…

Pernah atau tidak anda tertelan gula-gula getah semasa kecil? Jujur, penulis sendiri pernah melalui pengalaman ini sebanyak dua kali.

Paniknya Ya Rabbi, sampaikan terpaksa dibawa ke klinik dan hospital. Bisikan suara hati adakah aku akan mati? Macam-macam!

Bukannya apa, panik terlebih ini disebabkan terpengaruh dengan rumours  kononnya jika seseorang tertelan gula-gula getah, getah gula tadi akan melekat dan menjerut di kerongkong. Selain tertanam dalam perut selama tujuh tahun.

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya fakta itu tak betul! Meski perut tidak dapat memecahkan gula getah dengan cara yang sama seperti makanan lain, namun, sistem percernaan boleh menggerakkannya sepanjang aktiviti usus berlaku.

Erti kata lain, ia akan dikeluarkan melalui saluran pencernaan dan menjadi najis.

Foto: Care2

Tapi, bilakah menelan gula getah jadi satu masalah?

Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak tertelan gula getah dengan banyak, ia boleh menyekat saluran pencernaan dalam sesetengah kes tapi ia jarang berlaku.

Kemungkinan juga terjadinya insiden tersumbat apabila gula getah ditelan bersama objek asing yang lain seperti biji kuaci atau benda-benda yang susah nak dicerna.

Ia berlaku disebabkan kanak-kanak tidak tahu bahawa gula getah hanya dikunyah bukan ditelan terus ke dalam perut.

Gula getah dibuat daripada apa?

Sedap sangat kunyah gula-gula ini, tapi anda tahu tak ia diperbuat daripada apa? Gula getah diperbuat daripada bahan semula jadi atau bahan sintetik (gum resin), pengawet, perasa dan pemanis. Kemudian, tubuh akan serap pemanis dan ia boleh menambah kalori jika anda mengunyah gula manis terlalu banyak.

Tetapi, sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna gula-gula jenis ini dan ia hanya akan bergerak melalui saluran pencernaan dan seterusnya menjadi najis.

Berapa usia yang selamat boleh makan gula-gula getah?

Paling afdal, jangan ajar anak-anak anda menjadi penggemar gula-gula getah. Tetapi sekiranya mereka ingin mencubanya pastikan mereka berusia lima tahun ke atas kerana untuk peringkat umur sedemikian mereka mudah faham ada perbezaan antara gula getah dengan gula-gula yang lain.

Foto: Organics.org

Kesan-kesan yang boleh dapat jika tertelan gula getah?

  • Ia perbuat daripada kandungan gula yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kerosakan gigi
  • Kandungan sorbitol boleh menyebabkan cirit-birit
  • Ada sesetengah gula-gula ini mengandungi kulit kayu manis yang menyebabkan rasa panas dan pedas dalam mulut. Ia kurang sesuai untuk kanak-kanak.

Kesimpulannya, jika ‘teringin’ kunyah gula-gula ini, cukup sekadar satu atau dua keping sehari. Bila selesai kunyah dan rasa manis juga sudah hilang, terus buang jangan leka mengunyah pula!

Sumber: Kids Health

Yanie Baharom