Categories: TECHTech News

Data Internet Cepat Habis?

Dunia hari ini, tak kira tua atau muda amat sukar untuk dijarakkan dengan sambungan Internet. Jika dulu, kita sering menambah nilai pada telefon bimbit untuk kegunaan panggilan atau mesej, hari ini ia lebih menjurus kepada belian data internet.

Walaupun banyak pelan dengan data tanpa had sudah disediakan hari ini, ada juga di antara kita yang berasa tidak perlukannya. Ini kerana selalunya pelan data tanpa had mengenakan cas yang lebih tinggi atau kelajuan internet yang terhad.

Sehubungan dengan itu, kali ini kami akan kongsikan beberapa tips untuk penjimatan data mudah alih bagi mereka yang tidak menggunakan pelan data tanpa had.

1.Aktifkan mod “Penjimatan Data” pada aplikasi

 

Kebanyakan aplikasi popular hari ini mempunyai mod penjimatan data atau yang serupa dengannya. Sebagai contoh, WhatsApp dan Facebook membolehkan pengguna menetapkan untuk memuat turun atau memainkan media secara automatik atau tidak.

Maka, bagi menjimatkan data internet, pastikan anda mengaktifkan mod penjimatan data pada aplikasi seperti ini.

2.Sentiasa menyemak kadar penggunaan data

 

Setiap peranti membolehkan pengguna untuk menyemak kadar penggunaan data bagi setiap aplikasi yang digunakan. Dari situ, kita dapat mengesan aplikasi mana yang menggunakan data dengan banyak dan lakukan sesuatu mengenainya.

Sebagai contoh, sekiranya banyak menggunakan aplikasi YouTube, mungkin kita boleh memikirkan untuk beralih ke pelan internet yang menawarkan data khas atau tanpa had untuk YouTube.

3. Tonton video pada definisi yang lebih rendah

 

Menonton video pada definisi tinggi memang menyeronokkan namun ia juga akan menggunakan lebih banyak kuota internet anda. Oleh itu jika tidak keberatan, rendahkan sedikit definisi video yang ditonton.

Menonton video pada definisi 480p juga sebenarnya sudah cukup memuaskan.

4. Gunakan WiFi selagi boleh

 

Mungkin ada yang mempersoalkan mengenai tips ke-empat ini. Namun, ada diantara kita yang enggan menggunakan WiFi walaupun ianya tersedia atas alasan sambungan data mudah alih adalah lebih pantas.

Kalau lepak kedai mamak pun, boleh gunakan WiFi yang disediakan. Jangan malu bertanya sekiranya tidak menjumpai kata laluan ditampal di mana-mana.

Demikian sahaja sedikit tips dan langkah mudah bagi membantu anda untuk menjimatkan penggunaan data internet mudah alih anda.

Untuk rekod, selepas mengaplikasikan empat langkah ini, kuota internet 5GB/bulan saya dapat digunakan sehingga tamat tempoh langganan.

Jangan lupa untuk kongsikan juga tips atau cara yang anda lakukan bagi menjimatkan data internet anda bersama kami. Selamat mencuba!

 

Sumber: Wiser.my

Rosli Ab Rahman