Categories: Trending

2 Jam Dilancarkan, Album Terbaru Dayang Nurfaizah Daki Tangga Pertama di iTunes

Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang meletakkan album klasik terbarunya, Belagu di tangga nombor satu carta iTunes Apple Store, hanya dalam tempoh dua jam.

Album studio terbabit yang menghimpunkan khazanah lagu terbaik tempatan dan nusantara dan diberikan nafas baru oleh Dayang mula diedarkan hari ini.

“Saya diberitau pengurus, Sharina Ahmad, Belagu mula diedarkan di seluruh penstriman muzik tepat jam 12 malam tadi dan dua jam selepas itu ia berada di tangga nombor satu di carta album paling laris jualan di Itunes Apple Store.

“Alhamdullilah! Segala perancangan bertahun-tahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini nampaknya berbaloi. Ternyata apa yang saya mahu kongsikan dengan peminat muzik tempatan diterima baik,” katanya.

Jelas Dayang lagi, sambutan hangat diberikan peminat terhadap album Belagu juga menjadi petanda positif bahawa industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Dayang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang banyak membantu dalam merealisasikan impian menghasilkan Belagu terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Album Belagu menghimpunkan lagu klasik antaranya Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu, Tari Tualang Tiga.

Penyanyi dan komposer muda, Hael Hussaini turut membuat kemunculan istimewa dengan mendendangkan lagu Gurindam Jiwa secara duet dengan Dayang.

Album Belagu berupa projek khas Dayang yang mana kerja-kerja rakaman dilakukan secara langsung dengan studio khas dibina dalam sebuah gudang, bagi membolehkan segala logistik dan kerja rakaman berlangsung dengan sempurna dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun persediaan awal dalam merancang rakaman dapat dilakukan dengan sempurna telah berlangsung sepanjang tahun lalu.

Padin