Categories: Trending

KPM Bakal Perkenalkan Saluran Khusus TV Pendidikan Melalui DidikTV KPM

Bermula 17 Februari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM.

Saluran ini bersiaran bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari dan pelancaran DidikTV KPM akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama siaran jam 8.00 pagi.

Kewujudan saluran khusus ini merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Sebelum ini KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama sebelas jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7.

Kini, buat pertama kalinya KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari.

DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan. Saluran DidikTV KPM juga merupakan satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni, mewujudkan masyarakat berinformasi dan KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Sumber foto: Harian Metro

Padin