Categories: FeaturedTrending

Adakan Konsert, Akim Ahmad Jadi Vokalis Kumpulan Search?

Kumpulan rock legenda, Search, bakal mengadakan konsert Rockology Malaysian Tour 2021 yang bakal berlangsung pada 10 April ini, jam 9 malam di Waronk Avenue, Melaka.

Menariknya, persembahan itu menampilkan kolaborasi Search yang diwakili oleh Din (gitar), Kid (gitar), Pae (dram) dan Galang (bassist) bersama penyanyi Akim Ahmad.

Gitaris Search, Din berkata walaupun tanpa ketiadaan penyanyi utama, Amy Search, kumpulan tersebut akan terus berkarya demi peminat.

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya. Kami nak pengakhiran yang baik. Jadi, walaupun tanpa adanya Abang Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini. Ke mana saja pergi orang tanya mengenai Search

“Jadi, ini persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini bagi mengubat rindu peminat. Persembahan ini sangat penting, kerana ia permulaan buat Search kembali. Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa Abang Amy dan Nasir”.

Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi ‘meet & greet’ pada 10 April, jam 5.30 petang.

Persembahan berdurasi  selama sejam itu bakal menyaksikan Search X Akim mempersembahkan lagu popular Search.

Rockology Malaysian Tour 2021 bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur (Jun), Perak (Julai), Penang (Ogos), Johor Bahru (September) dan lain-lain lokasi yang akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”